Partime Job

Monday 18 June 2012

Pilu seorang bapa terpaksa merempat di kaki lima



KULIM - Dalam kemeriahan sambutan Hari Bapa yang diraikan semalam, masih ada dalam kalangan mereka yang terpaksa tinggal merempat di kaki lima di tengah pekan Kulim.

Lelaki ini suatu ketika dahulu pernah bergelar bapa tetapi entah di mana silap dia hidup seperti dalam buangan.

Sinar Harian menjejaki bapa malang berusia 58 tahun ini yang hanya mahu dikenali dengan nama Guna.

Guna berkata, sebelum ini dia mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara keperluan isteri dan anaknya. Menurutnya, setelah anaknya mendirikan rumah tangga bersama pasangan masingmasing, nasib malang terus menimpanya apabila dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kecederaan dialaminya itu membuatkan dia tidak mampu berjalan seperti biasa dan terpaksa mengharapkan belas ihsan anak-anak.

Guna berkata, hari demi hari keluarga anaknya semakin tertekan dengan kehadirannya. Mereka mula merasakan kewujudannya umpama satu bebanan.

Menurutnya, pelbagai tekanan dilaluinya sehinggalah dia mengambil keputusan keluar dari rumah dan tinggal berpelesiran.

“Saya memang tak ada duit. Saya akan dapat makanan melalui belas ihsan orang yang lalu lalang. Pada waktu siang saya akan mengemis dan pada waktu malam akan tidur di kaki lima.

“Lagipun saya sekarang ini tidak sihat kerana terlibat dalam kemalangan. Sekiranya saya sihat dan mempunyai banyak wang pastinya anak-anak akan menyayangi saya dan tidak membiarkan saya merempat di sini, “ katanya.

Guna bagaimanapun berterima kasih kepada pemilik kedai kerana membenarkan dia tidur di luar kedai mereka. “Sebelum tidur saya akan mencari kotak untuk dijadikan alas.

Selain itu saya juga akan jadikan kotak itu sebagai tempat berteduh sekiranya hujan,” katanya. Kegembiraan jelas terpancar di wajahnya apabila diberikan sedikit wang tunai bagi perbelanjaan hariannya.

Mangsa yang mengucapkan ucapan terima kasih berulang kali menunjukkan betapa dia terharu dengan sumbangan diterimanya walaupun ketika itu sudah pun jam 3.45 pagi.

sumber : sinarharian

No comments: