Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 18 June 2012

Tak sempat sambut Hari Bapa



BATANG KALI - Seorang isteri tidak dapat menahan kesedihan dan sanggup menemani jenazah suaminya di bahu jalan sehinggalah anak dan jirannya memapah dan membawanya pulang.

Situasi itu berlaku di Kilometer 2.5 Jalan Batang Kali - Hulu Yam dekat Taman Tamu Hill di sini apabila seorang penunggang motosikal maut setelah terbabit dalam kemalangan di laluan itu petang semalam.

Jiran mangsa yang enggan di kenali berkata, mangsa yang dikenali sebagai Radzuan Mohamad, 49, maut setelah motosikal jenis Yamaha LC ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Nissan Cefiro kira-kira jam 4 petang semalam.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tamu Hill setelah mengikuti kursus beberapa hari di tempat kerjanya.

“Namun, kejadian semalam menyebabkan dia maut akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, isteri mangsa yang mendapat tahu kejadian itu bergegas ke lokasi kemalangan dan terus mendampingi jenazah suaminya selama hampir setengah jam sebelum dia dibawa pulang.

Kata jiran mangsa itu lagi, selain pulang daripada berkursus, kepulangan mangsa juga dinantikan jirannya untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Bapa di taman perumahan tersebut.

Tambahnya, segala persiapan sambutan itu sedang dilakukan secara bergotong-royong, bagaimanapun kejadian malang itu akan bertukar kepada kenduri arwah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan

sumber : sinarharian

No comments: