Partime Job

Friday 15 June 2012

Kematian bayi wartawan Bernama tiada unsur jenayah

KUALA LUMPUR - Bedah siasat ke atas bayi lelaki berusia enam bulan yang merupakan anak kepada seorang wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menunjukkan kematiannya semalam tiada unsur jenayah.

Ali Imran Mohd Noordin, 30, berkata pihak Hospital Serdang yang melakukan bedah siasat itu pada 8.30 pagi tadi memaklumkan anaknya, Aryaan Hafizh, meninggal dunia akibat 'Sudden Infant Death Syndrome'.

"Keputusan bedah siasat oleh doktor pakar di hospital itu mendapati organ anak saya berfungsi dengan normal dan tidak terdapat tanda perlakuan jenayah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ali Imran, wartawan di Meja Rencana Bernama, berkata jenazah anaknya akan disolatkan di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Selaseh Fasa 2, Gombak, selepas solat Asar.

Aryaan Hafizh disahkan meninggal dunia pada 5.50 petang semalam di Hospital Serdang selepas dibawa menerima rawatan ekoran keadaannya yang lemah ketika berada di bawah jagaan sebuah pusat asuhan di Jenderam Hulu, Bandar Baru Salak Tinggi.

Sehubungan itu, Ali Imran berkata beliau tidak berhasrat mengambil apa-apa tindakan terhadap pusat asuhan terbabit.


Beliau membuat laporan polis di hospital berkenaan semalam berikutan kematian bayi itu. - Bernama

No comments: