Partime Job

Friday 15 June 2012

Laksa, tarikan baru ke Langkawi

LANGKAWI - Siapa sangka, bintang terkenal Hollywood yang juga pengarah filem, Mel Gibson pernah menyatakan antara makanan kegemarannya ialah laksa.

Laksa, ialah sejenis makanan mi berkuah daripada tepung beras, dan ada unsur campuran budaya Cina dan Melayu. Ada dua jenis laksa yang popular - laksa kuah kari atau laksa kuah asam.

Dihidangkan panas-panas, laksa ialah antara hidangan wajib setiap kali berkunjung ke negeri utara Kedah, Pulau Pinang dan Perlis untuk laksa asam dan di Johor pula ia dikenali sebagai laksa Johor yang menggunakan spageti sebagai mi dan kuahnya kari bersantan.

Di negeri pantai timur pula, terutama Kelantan, ia dipanggil laksam, yang menggunakan kuah santan putih dan ditambah cili untuk rasa pedas. Di Sarawak, kuahnya lebih berempah dan menggunakan mihun sebagai ganti laksa tepung beras.

Apapun jenis laksa, kuahnya menggunakan asas isi ikan.

Keenakannya yang tiada tandingan, melebarkan populariti makanan tempatan ini yang bukan sekadar di kampung dan kedai kaki lima malah turut menjadi hidangan utama di hotel bertaraf lima bintang.

Baru-baru ini Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menganjurkan Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi (Lilac) selama tiga hari bermula 25 Mei, sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.

MENGAPA LAKSA?

Selain tarikan lokasi dan kebudayaan yang istimewa, makanan tempatan juga berpotensi besar mencuri perhatian pelancong. Ini berdasarkan laporan, sektor makanan dan minuman di Malaysia menyumbang 17.2 peratus daripada pendapatan yang dijana industri pelancongan tahun lepas.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dipetik sebagai berkata industri pelancongan menjana pendapatan lebih RM1 bilion setiap minggu dengan 17.2 peratus daripadanya (RM9.72 bilion) dibelanjakan untuk makanan pada tahun lepas.

Atas faktor itu, kementerian menganjurkan pelbagai karnival makanan seperti Fabulous Food 1Malaysia (FF1M), sebagai platform mempromosi keistimewaan makanan tempatan kepada pelancong.

Namun, kebiasaannya karnival makanan yang diadakan menggabungkan pelbagai masakan tradisional negara ini seperti rendang, kuih-muih, lemang, sate dan sebagainya.

Berlainan pula dengan Lilac, tumpuan khusus diberikan kepada laksa tanpa adanya gabungan makanan tempatan lain.

Jadi, apa menariknya laksa?


"Mengapa tidak? Berikan saya satu hidangan paling terkenal antara negeri-negeri? Semestinya laksa," ulas Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli ketika ditanya mengapa laksa dipilih sebagai hidangan utama karnival ini.

Laksa yang dikatakan mungkin berasal daripada bahasa Sanskrit 'laksha' bererti 'banyak', merujuk kepada banyaknya kandungan dan rempah yang digunakan.

Boleh dikatakan hampir setiap negeri mempunyai laksa yang tersendiri yang membuatkannya bertambah eksotik. Selain itu, kaedah memasak laksa juga pelbagai, untuk menghasilkan keunikan rasa masing-masing.

JULUNG KALI

Penganjuran julung kali diadakan itu disertai sekumpulan penyedia laksa yang menyajikan laksa Johor, laksa Pahang, Asam Laksa Pulau Pinang, laksa Thailand, laksa Perlis, laksam (Kelantan), laksa Sarawak dan laksa Langkawi.

Merupakan suatu inisiatif bijak, langkah penganjuran karnival ini juga dilihat sebagai alternatif ke arah menjadikan Langkawi antara 10 pulau dan destinasi eko-pelancongan terbaik dunia menjelang 2015.

Ia selaras dengan pelancaran Blueprint Pelancongan Langkawi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, iaitu pelan terperinci untuk menjadikan Langkawi destinasi tarikan yang menambat hati dengan mewujudkan infrastruktur lebih baik, rangkaian pengangkutan lancar selain pendapatan pelancongan sasaran dan pendapatan bukan pelancongan yang lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Khalid berkata karnival seperti Lilac bukan sahaja memberi nilai tambah kepada Langkawi malah menjadi platform dalam mengiktiraf makanan tradisional atau tempatan di mata dunia.

"Lada akan meneruskan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dalam mempromosi Langkawi menerusi makanan traditional yang menjadi kegemaran pelancong.

"Saya amat berpuas hati dengan sambutan Lilac. Malahan dilihat, ramai pelancong luar terutamanya sudah berada di situ (Lilac) sejak pagi dan ada pelancong dari Eropah yang makan sampai lima jenis laksa," katanya.

DI MANA ANTARABANGSANYA?

Biarpun penganjurannya dilihat sebagai satu langkah positif, namun ia juga tidak lari daripada suara-suara sumbang mempertikai penganjuran karnival berkenaan.

Sambil menyentuh di mana nilai antarabangsanya? Mereka menyatakan majoriti menu adalah bercirikan tempatan.

Sekiranya ada nilai antarabangsa pun, ia hanyalah pada laksa Thailand. Menjelaskan perkara itu, Khalid berkata skop antarabangsa bukan hanya dilihat dari mana datangnya makanan itu, namun ia berlandaskan kepada konteks penyediaan laksa.

Tambahnya, laksa disesuaikan mengikut cita rasa, standard antarabangsa. Biarpun begitu, rasa asal dan bahan asas dalam penyediaan laksa akan tetap dikekalkan.

"Apabila saya beritahu pelakon Mel Gibson menyukai laksa, ia adalah bercita rasakan antarabangsa. Selain itu, karnival ini juga turut menjemput chef antarabangsa bersama dengan Chef Wan untuk mengendalikan kelas masakan laksa.

"Ini memberi peluang kepada pengunjung mempelajari cara penyediaan hidangan laksa," katanya.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Dihoskan oleh Chef Redzuawan Ismail atau Chef Wan, karnival itu berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung domestik dan luar negara selama tiga hari berlangsung di Laman Padi.

Ia bukan sahaja memperlihat perjualan pelbagai jenis laksa, malah turut diadakan pertandingan membuat laksa, pertandingan masakan antara sekolah dan pertandingan makan laksa.

Bagi pemandu pelancong, Adrian Tan, platform sedemikian bukan sahaja memperkenalkan pelbagai jenis laksa di Malaysia kepada pelancong luar, malah pengunjung tempatan.

"Hari ini baru saya tahu laksa Johor menggunakan spageti. Sebelum ini, saya ingatkan laksa Johor seperti biasa sahaja. Selain itu, banyak lagi laksa yang tidak pernah saya cuba sebelum ini dapat dirasai di sini, ia satu pendedahan yang bagus," katanya.

Berkongsi pandangan serupa, pelancong dari Switzerland, Manuela, berkata karnival itu amat menarik perhatiannya.

"Karnival laksa ini memang menarik dan masyarakat di sini sangat mesra. Sudah tentu saya mahu mencuba semua jenis laksa," katanya kepada Bernama. - Bernama

No comments: