Partime Job

Monday 16 April 2012

Semua mampu miliki rumah sendiri

KUALA LUMPUR: “Sebelum ini, untuk memiliki rumah sendiri, saya masih teragak-agak kerana beranggapan belum mampu dan kewangan belum stabil,” kata Siti Roshida Abdul Rashid, 33.

Menurutnya, walaupun usianya sudah melebihi 30 tahun, dia beranggapan belum terlambat untuk membeli rumah sendiri berikutan kini sudah ada Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang ditawarkan kerajaan.


“Harga rumah sekarang semakin mahal dan tidak semua orang mampu membelinya terutama mereka yang bergaji hanya kira-kira RM2,000 sebulan,” katanya.

Katanya, ramai rakan-rakannya sudah mula membeli rumah sendiri manakala dia sendiri masih mencari lokasi sesuai termasuk berhampiran tempat kerjanya.


Kakitangan swasta, Nur Amira Habshi, 25, berkata, kebanyakan rumah kos rendah dibina di kawasan luar bandar menyebabkan ramai golongan muda yang bekerja di bandar sukar membeli rumah sendiri dan jika adapun, harganya agak mahal.


“Selain itu, di kawasan bandar, jika ada pun rumah kos rendah, ia dibina di lokasi agak jauh hingga menyukarkan pembeli berulang-alik untuk ke tempat kerja.

“Apapun, langkah kerajaan menyediakan Skim Rumah Pertamaku itu memang baik, cuma lokasi pembinaan rumah itu boleh diperbaiki lagi termasuk dibina di kawasan lebih strategik,” katanya. Menurutnya, kebanyakan rumah kos rendah dibina di kawasan agak jauh dari bandar hingga menyukarkan anak muda yang bekerja di bandar untuk berulang-alik jika rumah dibeli siap.


Justeru, katanya, dia berharap kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan dapat menimbangkan mengenai perkara itu kerana tidak mahu rumah dibeli akhirnya tidak diduduki, sebaliknya hanya disewakan.

Melalui SRP, golongan muda yang belum mempunyai rumah sendiri berpeluang mendapat pembiayaan sehingga 100 peratus daripada institusi kewangan bagi membeli rumah pertama tanpa perlu membayar wang pendahuluan sebanyak 10 peratus. Langkah itu selaras hasrat kerajaan bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

sumber : hmetro

No comments: