Partime Job

Thursday 19 April 2012

Sedar rumah terbakar bila Cucu pucat keluar bilik air

PETRA JAYA: “Saya terkejut apabila melihat cucu keluar dari bilik air dalam keadaan pucat dan ketakutan, selepas itu baru saya sedar rumah kami terbakar,” kata Madusiah Abeng, 52, ketika menceritakan detik cemas selepas sebahagian rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Tupong Batu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Madusiah sedang menidurkan seorang cucunya, Hazelina Alisya Abdul Malek yang berusia sembilan bulan, manakala seorang lagi cucunya, Nur Azmira Aqilah, 2, turut berada di dalam rumah.


Tiba-tiba, katanya, dia melihat seorang lagi cucu lelaki Malique, 5, keluar dari bilik air dengan wajah ketakutan selain kaku apabila didesak memaklumkan punca kelakuan peliknya itu.

“Saya kemudian bergegas ke belakang rumah dan terkejut apabila melihat asap hitam memenuhi kawasan itu, sebelum nekad melarikan ketiga-tiga cucu ke rumah depan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menurutnya, suaminya, Akip Salleh, 60, yang kebetulan di depan rumah cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, tetapi alat itu tidak berfungsi sebelum menggunakan air bagi memadam api.


Katanya lagi, keadaan api semakin marak menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah beberapa penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan memberikan bantuan.

“Saya hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan cucu walaupun kudrat tidak seberapa, tetapi saya nekad membawa mereka keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.


Sementara itu, jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.10 tengah hari sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebuah jentera bersama 10 anggota tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian, sebelum memadam api daripada merebak ke rumah berdekatan.


“Sebaik tiba, kami mendapati sebahagian besar rumah berkenaan sudah musnah dan mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengawal api daripada merebak.


“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan masih menyiasat punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian dialami keluarga mangsa.” katanya.

sumber : hmetro

No comments: