Partime Job

Thursday 19 April 2012

Sambung jalani kemoterapi


IPOH – “Jika keadaan kesihatan mengizinkan, abang akan jalani pembedahan pada bila-bila masa sahaja,” kata Zetty Ramli, ibu kepada kanak-kanak penghidap kanser tulang, Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy.

Dengan kedudukan kewangan yang mencukupi, Zetty berkata, mereka kini perlu memastikan tahap kesihatan Wan Arif, 8, stabil terutama sepanjang menjalani rawatan kemoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Menurutnya, berdasarkan keputusan rawatan­ yang dilakukan di Pusat Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainon (HRPB) semalam, tahap kesihatan anak sulung daripada tiga beradik itu menunjukkan tanda positif.

“Doktor bertugas memaklumkan keadaan kesihatan abang baik, ujian darah dan jantung yang dibuat pun baik, jadi Isnin depan kami sekeluarga akan membuat rawatan kemoterapi untuk kali keempat di PPUM.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, pembedahan akan dibuat secepat mungkin, tetapi itu semua bergantung kepada keadaan kesihatan abang, saya harap semua orang dapat mendoakan kesihatannya,” katanya.

Difahamkan, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah ini perlu menjalani enam kali kemoterapi sebelum pembedahan akibat kanser tahap empat di bahagian kaki kiri boleh dijalankan.

Meskipun lebih banyak menggunakan kerusi roda, Zetty berkata, Wan Arif masih boleh berjalan dengan baik.

Malah katanya, selera Wan Arif juga semakin bertambah apabila menginginkan pelbagai jenis makanan setiap kali mahu makan.

Ketika ditanya kepada Wan Arif berkaitan­ sesi persekolahannya apabila terpaksa ‘ponteng’ dalam tempoh agak lama, dengan nada seloroh dia memberitahu, keadaannya kini sama seperti bapanya yang mengambil cuti tanpa gaji sepanjang menjalani rawatan berkenaan.

sumber : sinarharian

No comments: