Partime Job

Thursday 19 April 2012

Tiada konspirasi HKL, polis

KUALA LUMPUR - Mahkamah Koroner semalam diberitahu tidak berlaku konspirasi antara Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pihak polis untuk menutup punca sebenar kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad, ketika menyertai perhimpunan­ haram pada 9 Julai, tahun lalu.

Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Razali Mahmud tidak bersetuju cadangan peguam Patrick Dass, yang mewakili keluarga mangsa, bahawa beliau ditugaskan untuk menukar jantung Baharudin dengan jantung daripada mayat lain ketika proses bedah siasat dilakukan pada malam hari yang sama.

Saksi ke-25 itu berkata, pada malam itu, hanya jenazah Baharudin berada di bilik bedah siasat dan beliau berada di situ sepanjang proses bedah siasat berlangsung.

“Saya tidak keluar dari bilik bedah siasat sehingga proses bedah siasat itu selesai,” katanya pada perbicaraan­ inkues bagi menyiasat kematian Allahyarham Baharudin.

Razali, 50, berkata, turut berada di bilik itu ialah pakar patologi HKL Dr Khairul Anuar Zainun yang dibantu Dr Ferwan Fairis Ab Karim, seorang pembantu perubatan hospital dan seorang jurugambar polis.

Ketika ditanya Patrick mengapa anak Baharudin, Dr Ummi Mirza tidak dibenarkan masuk ke bilik bedah siasat itu, Razali berkata, dia tidak tahu mengenai perkara itu.

Razali juga menafikan hasil siasatannya­ berat sebelah dan memihak kepada polis kerana setiap siasatan yang dilakukannya adalah berdasarkan kepada fakta.

Razali berkata, sudut fokus kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan pusat beli-belah Avenue K pada hari kejadian telah sedikit beralih kerana tersentuh oleh pekerja bangunan.

Dia juga bersetuju dengan cadangan­ Patrick bahawa fokus CCTV yang teralih itu disebabkan tindakan oleh pekerja bangunan itu.

Inkues yang didengar di hadapan­ Koroner Zulkpli Abdullah bersambung 2 Mei. - Bernama

No comments: