Partime Job

Thursday 19 April 2012

Bayi cacat kaki kiri terselamat


SHAH ALAM - Seorang bayi lelaki yang cacat kaki kiri diselamatkan selepas polis membongkar sindiket jual bayi di sebuah restoran di Bukit Tinggi, Klang, 6 April lalu.

Sebelum ini, dua bayi lelaki, berusia 22 hari dan tiga bulan, di mana salah seorangnya dikenali Lee Kelvin diselamatkan ketika ibu bapanya berurusan dengan sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, bayi lelaki itu diselamatkan di Perdana Villa Apartmen, Taman Sentosa, Klang, jam 5.45 petang, Isnin lalu.

Mohamad berkata, bayi itu dikenali Zachary Vishal, berusia lima bulan.

Katanya, bayi itu ditemui kurang sejam selepas siasatan­ terhadap seorang suspek perempuan, berusia 37 tahun, yang ditahan di sebuah rumah di Tanjung Sepat, Banting.

“Suspek ibu bayi berkenaan. Bayi itu dijual kepada pasangan suami isteri yang tidak mempunyai cahaya mata, berusia lewat 30-an.

“Bayi itu mempunyai dokumen kelahiran dan siasatan mendapati dia dijual pada harga RM6,000, November tahun lalu,” katanya, semalam.

Katanya, ibu Zachary Vishal masih ditahan reman sehingga Ahad ini dan pasangan itu dibebaskan dengan jaminan­ selepas keterangan diambil.

Beliau berkata, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Dalam pada itu katanya, wanita warga Singapura yang merupakan ketua sindiket masih ditahan reman untuk siasatan, manakala tiga lagi lelaki dibebas dengan jaminan polis.

Terdahulu, dua wanita termasuk seorang yang mengandung lapan bulan turut dibebaskan dengan jaminan.

Siasatan polis mendapati lebih tiga bayi sudah dijual sejak Ogos tahun lalu, pada harga mencecah RM28,000 seorang.

Harga bayi bergantung kepada jantina, rupa bayi dan dokumen kelahiran bayi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

sumber : sinarharian

No comments: