Partime Job

Thursday 19 April 2012

Hukuman penjara dua beradik ditambah

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini, semalam menambah hukuman­ penjara dari 16 tehun kepada 18 tahun terhadap dua beradik terhadap kesalahan merogol anak saudara mereka yang berusia 15 tahun.

Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu terhadap lelaki berusia 37 dan 35 tahun itu selepas menerima rayuan pihak pendakwaan.

Sebelum ini, dua lelaki itu diperintahkan menjalani hukuman penjara 14 dan 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen.

Noor Azian juga mengekalkan hukuman sebatan masing-masing iaitu empat dan 12 kali sebagaimana keputusan mahkamah terdahulu.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat sebarang kesilapan dan mahkamah ini tidak akan mengusik keputusan bahawa kedua-dua tertuduh didapati bersalah sebagaimana pertuduhan.

“Kes ini umpama harapkan pagar, pagar makan padi. Bapa saudara rogol anak kepada abang sendiri keji dan menjijikkan. Mangsa yang terlibat adalah anak abang yang mana ada ikatan yang dekat dan mereka boleh menjadi wali kepada mangsa.

“Hanya binatang sahaja yang sanggup melakukan perbuatan sebegini. Jadi, saya benarkan rayuan pihak pendakwaan,” katanya.

Tertuduh yang berusia 35 tahun didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram dengan merogol anak saudaranya yang berusia 15 tahun tujuh bulan di Bristol Estet, Jalan Kuang, Rawang, pada jam 3 petang, 2 April 2004.

Sementara abangnya pula menghadapi tiga pertuduhan sama dengan merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Melayu, Rawang antara 1 Januari dan 5 April 2004.

Kedua-duanya dibicara mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Hasbi Hasan kemudiannya­ menyabitkan kedua-dua tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan empat sebatan terhadap tertuduh yang berusia 35 tahun itu.

Sementara abangnya pula dipenjara 15 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan yang mana ia diarah berkuat kuasa serentak mulai tarikh dia ditangkap pada 9 April 2004.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Suzana Abdul Latif.

Satu laporan polis dibuat selepas mangsa yang mempunyai enam adik beradik memberitahu guru kejadian dia dirogol oleh dua bapa saudaranya.

Sementara kedua-dua tertuduh dalam pembelaan pula mendakwa mangsa cuba menganiaya mereka kerana perselisihan faham dalam keluarga.

sumber : sinarharian

No comments: