Partime Job

Thursday 19 April 2012

Risda dekati pekebun kecil di seluruh negara

KOTA BHARU- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan mengadakan program ‘Sarapan Pagi, Kasihi Pekebun Kecil’ dalam usaha mendekati golongan berkenaan di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, program berkenaan akan memberi ruang kepada pekebun kecil getah untuk bertukar pendapat mengenai kerja-kerja menoreh dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan hasil.

“Secara tradisi pekebun kecil akan ke kebun untuk menoreh sekitar jam 5 atau 6 pagi dan akan menghabiskan kerja mereka jam 10 pagi, sebelum bersarapan bersama di kedai kopi dan pusat penjualan di kawasan berkenaan.

“Tapi melalui program ini, Risda akan kumpulkan mereka di suatu tempat yang lebih selesa untuk bersarapan sambil berinteraksi dengan pengurusan Risda dan pemimpin setempat dalam membantu menyelesaikan masalah dihadapi secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Tanam Baru Komoditi Getah (TBKG) Peringkat Negeri Kelantan dan Penyampaian Sumbangan Khas Pengerusi Risda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, di sini kelmarin.

Menurutnya, program tersebut akan memberi peluang kepada pekebun kecil getah di negara ini untuk berinteraksi secara terus dengan pengurusan Risda dan pemimpin setempat yang akan hadir ke tempat mereka.

“Program ini akan bermula pada 6 Mei di Kelantan dengan memilih Ketereh sebagai lokasi pertama dan antara lain tujuannya adalah untuk menyampaikan amalan pertanian yang baik dan merungkai segala masalah dihadapi tanpa perlu ke pejabat,” katanya.

Abdul Rahim berkata, program itu juga akan menjadi platform kepada Risda dalam menyampaikan satu maklumat besar secara tidak formal tanpa memerlukan kos yang tinggi.

sumber : sinarharian

No comments: