Partime Job

Thursday 19 April 2012

Didakwa belasah jiran dengan kerusi rotan

KUALA TERENGGANU- Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan membelasah jiran mereka dengan kerusi rotan pada Mac lalu, di kediaman mangsa di Lorong Pengkalan Jejawi, Jeram, Manir, di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua beranak itu, Shaari Mat Ali, 48, dan anaknya Mohd Azrol Shaari, 26, mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Shaari bersama anaknya Mohd Azrol didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap Mohd Aisaruddin A Rahim, 26, di rumah mangsa dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebuah kerusi rotan berwarna coklat jam 6.10 petang, pada 14 Mac lalu.

Dengan itu, mereka didapati melakukan kesala-han di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana kedua-dua hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh direkodkan, Noradila menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Shaari dan anaknya Mohd Azrol yang dikenal ‘Slow’ didakwa telah menyerang mangsa yang ketika itu sedang duduk di beranda rumahnya.

Kedua-dua mereka didakwa terus memukul dan menumbuk di badan serta kepala mangsa.

Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam rumah, bagaimanapun kedua-dua beranak itu didakwa tetap mengekori lalu Shaari didakwa telah mengambil kerusi rotan dan memukul badan mangsa.

Tidak puas dengan itu, Shaari turut didakwa telah menghantuk kepala mangsa dekat tiang pintu dapur. Bagaimanapun, mangsa cuba melawan namun kedua-dua mereka didakwa tetap memukul mangsa.

Lebih kurang 15 minit kemudian, baru mereka pergi meninggalkan rumah mangsa.

Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami luka dan bengkak di dahi kanan, lebam di dahi kiri, bengkak di belakang telinga kiri serta kepala, luka di ibu jari kaki kanan dan sakit di bahagian badan serta kepala.

sumber : sinarharian

No comments: