Partime Job

Thursday 19 April 2012

Dewan Tok Kenali perlu sumbangan RM50,000


KOTA BHARU- Dewan Tok Kenali yang bakal diubahsuai dan dibina tiga tingkat masih memerlukan sumbangan berbaki kira-kira RM50,000 dan mengalu-alukan penyertaan orang ramai.

Penaung Masjid Tok Kenali, Lokman Ahmad berkata, setakat ini, bangunan pejabat dewan sudah dibina dua tingkat dan tapak lama dewan kini dibersihkan untuk pembinaan yang baru.

Beliau berkata, usaha mengubahsuai dewan berkenaan dari satu tingkat kepada tiga tingkat sebagai mengenang sejarah ulama terkenal di Kelantan suatu masa dahulu, Muhamad Yusof Ahmad atau Tok Kenali.

“Kos sebenar dalam cadangan tambahan dan pengubahsuaian dewan ini adalah RM442,500 iaitu melibatkan kos bangunan (termasuk kerja elektrik) dan yuran perundingan arkitek dan jurutera struktur.

“Setelah beberapa tahun mengutip sumbangan dan derma daripada seluruh negeri juga daripada pemimpin masyarakat, sebanyak RM50,000 lagi peruntukan berbaki diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program realiti televisyen swasta di sini, semalam.

Pada program berkenaan, seramai hampir 100 pelajar Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian memberi kerjasama bergotong-royong bersama finalis rancangan ‘Perjalanan Tiga Solehah’ di Masjid Tok Kenali, di sini.

Menurutnya, Dewan Tok Kenali yang lama (usang) sudah dirobohkan memandangkan kedudukannya di kawasan lembah menyebabkan air bertakung dan pembinaannya perlu dipercepatkan.

“Pada dewan ini, Pusat Tahpizul Quran akan digerakkan bagi mengimarah fungsi sebenar Dewan Tok Kenali,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh datang sendiri ke Dewan Tok Kenali yang terletak di Pondok Tok Kenali, Lorong Tok Kenali, Jalan Wakaf Stan-Kubang Kerian, di sini.

Katanya, sumbangan wang juga boleh disalurkan melalui akaun Maybank 553104411293 atas nama Dewan Tok Kenali atau mereka yang prihatin boleh menghubungi talian di talian 012-9540237 dan 09-7654666.

sumber : sinarharian

No comments: