Partime Job

Thursday 19 April 2012

Remaja perlu pindah organ

SENAI - Impian seorang remaja untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak kesampaian selepas keadaannya dilaporkan kritikal sehari sebelum menduduki peperiksaan itu, pada akhir tahun lalu akibat kerosakan buah pinggang.

Bagaimanapun, K Kishan Raj tidak berputus asa untuk menduduki peperiksaan pada tahun ini jika kesihatannya semakin stabil selepas disahkan buah pinggangnya tidak berfungsi akibat dijangkiti virus kencing tikus.

Jika sebelum ini Kishan seorang remaja aktif, namun kini keadaannya semakin lemah dan hanya mampu minum sebanyak 500 milimeter sehari, jika tidak paru-parunya akan membengkak kerana kegagalan buah pinggangnya berfungsi.

Menurut ibu remaja berkenaan, A Mannaga, 50, dia yang sebelum ini bertugas di Singapura dengan pendapatan sebanyak RM2,000 terpaksa berhenti kerja kerana perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak bongsunya itu.

“Selepas berhenti kerja, perbelanjaan harian ditanggung anak sulung saya, manakala suami, V Krishnan, 63, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.

“Kishan perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu selain perlu mendapat suntikan tambahan bagi mengurangkan kesakitan namun kosnya agak tinggi kira-kira RM2,210 sebulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, baru-baru ini.

Katanya, doktor yang merawat Kishan mencadangkan supaya dia menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang, malah buah pinggang Mannaga disahkan sesuai namun kos yang perlu ditanggung adalah RM80,000.

“Pembedahan boleh dijalankan bila-bila masa sekiranya wang yang diperlukan mencukupi, namun saya akui tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu dan berharap ada pihak yang sudi membantu.

“Memang ada pihak yang menghulurkan derma, namun jumlah yang berjaya dikumpul hanya cukup untuk menjelaskan bayaran dialisis Kishan. Sebagai ibu saya sanggup lakukan apa sahaja termasuk menderma organ saya asalkan dia sembuh seperti sebelumnya,” katanya.

Mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan kewangan supaya pembedahan pemindahan buah pinggang dapat dijalankan segera boleh menghubungi Mannaga dan Krishnan di talian 017-7695089 atau 017-7239634 selain boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 151575185146.

Simpati dengan penderitaan Kishan, pasaraya Enconsave Senai turut datang melawatnya termasuk menghulurkan derma sebanyak RM1,000 yang disampaikan oleh Pengurus Operasi Econsave, Mas Imran Adam.

Mas Imran turut bercadang untuk mewujudkan tabung derma bagi membantu Kishan menjalani pembedahan secepat mungkin.

sumber : sinarharian

No comments: