Partime Job

Thursday 19 April 2012

Warga emas dipukau tiga wanita


JOHOR BAHRU - Seorang warga emas dari Taman Desa Jaya, di sini, rugi RM65,000 apabila wang tunai dan barang kemas dimiliki lesap dipercayai disamun selepas dipukau tiga wanita, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Chia Wee Yee, 70, kehilangan tunai mata wang Australia Au$6,000 (RM18,000), mata wang Singapura Sg$6,000 (RM15,000) dan wang tunai RM7,000 yang kesemuanya berjumlah RM40,000, selain barang kemas berupa dua rantai leher, gelang tangan, cincin, subang serta cincin jed yang bernilai RMRM25,000.

Anak mangsa, Tracy Tee, 37, berkata, ibunya ditipu tiga wanita yang berusia lingkungan­ 40-an itu ketika berada di pekarangan blok bangunan­ pasar mini di Jalan Lembah 1 untuk mengikuti senaman taici sekitar jam 8.30 pagi.

“Ibu saya didatangi seorang wanita yang bertanya mengenai tabib Cina di sekitar taman perumahan ini. Bagaimanapun ibu saya menjawab tidak tahu. Tiba-tiba datang dua wanita lain menyampuk perbualan ibu bersama wanita pertama.

“Salah seorang daripada dua wanita terbabit mengaku cucu kepada seorang tabib. Wanita terbabit kemudiannya memberitahu ibu saya bahawa dia mempunyai penyakit selain mengetahui latar belakang keluarga dan memberitahu rumah kami ‘ditumpang’ roh jahat.

“Wanita berkenaan meminta ibu saya pulang ke rumah untuk membawa barang kemas berserta wang tunai kepadanya dan ibu hanya menurut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah mereka di Taman Desa Jaya, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pemuda DAP negeri, Tan Hong Ping.

Tracy berkata, dia tidak mengesyaki sebarang perkara pelik sewaktu ibunya pulang mengambil wang tunai dan barang kemas berkenaan.

Bagaimanapun, timbul pelbagai persoalan apabila melihat ibunya memasukkan kesemua barang berharga berkenaan di dalam sebuah beg dan mahu keluar semula selepas pulang.

“Saya ada bertanya kepadanya, tetapi ibu memberitahu saya mahu membawa kesemua wang tunai dan barang kemas ini bertemu sami di tokong untuk upacara ‘menyucikan’ barangan berharga itu yang kononnya sudah tercemar kerana roh jahat.

“Saya mahu menghantarnya ke tokong, namun ibu menolak kerana mendakwa mahu pergi bersama dengan kenalan,” katanya.

Tracy berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah ibunya pulang bersama beg yang sama sepuluh minit kemudian, malah yakin wang tunai dan barang kemas tersebut masih ada di dalam beg berkenaan.

“Bagaimanapun saya diberitahu ibu dia seakan baru tersedar daripada lamunan ketika sedang menyiapkan hidangan makan tengah hari. Dia segera ke bilik untuk melihat barang berharga di dalam beg dibawanya, namun apa yang ada hanya dua botol air mineral serta lima limau,” katanya.

“Ibu segera memberitahu saya dan anak-anak lain. Sekitar jam 4 petang, saya membawa ibu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Hong Ping menasihatkan orang ramai tidak cepat terpedaya dengan mana-mana individu tidak dikenali yang mencurigakan, sekali gus melaporkan kepada anak atau jiran terdekat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

sumber : sinarharian

No comments: