Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 18 April 2012

PTPTN: Haram caj lebihi kos sebenar

SHAH ALAM - Semua empat mazhab ulung sepakat bahawa kontrak perjanjian yang dikenakan caj perkhidmatan melebihi kos sebenar adalah haram.

Ketua Hal Ehwal Penyelidikan, Akademi Penyelidikan Syariah Kewangan Islam Antarabangsa (Isra), Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, melalui piawaian syariah adalah tidak dibenarkan bagi institusi pinjaman mengenakan peratusan yang tidak munasabah.

Katanya, caj perkhidmatan yang dikenakan mestilah mewakili kos sebenar perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman yang diberikan.

“Skim pinjaman pendidikan mestilah bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan syarak, terutamanya dalam konteks riba,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

“Malah, Majlis Syariah AAOIFI (Organisasi Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam) dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal.

“Piawai Syariah AAOIFI adalah seiring dengan Resolusi 13 yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa OIC. Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti satu peratus, dua peratus atau tiga peratus daripada jumlah pinjaman.

Menurutnya, kitab syariah Al-Sunan Al-Kubra Lil-Baihaqi menjelaskan setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman adalah riba.

“Riba yang berkaitan dengan amalan memberi hutang dinamakan riba al-qard atau riba al-duyun. Hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah atau perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Fatwa OIC dan Piawai Syariah AAOIFI membenarkannya apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan.

“Ia tidak termasuk dalam pengiraan kos sebenar perkhidmatan pengurusan hutang seperti gaji pekerja, sewa tempat, aset dan pengangkutan serta perbelanjaan umum yang meliputi pengurusan institusi.

“Semua ini bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur riba yang diharamkan. Apa yang penting ialah elemen riba tidak boleh di kompromi sama sekali,” katanya.

Beliau berharap caj perkhidmatan dimansuhkan dan bukan memansuhkan pinjaman PTPTN, kerana ia adalah hutang yang perlu dijelaskan oleh peminjam.

Menurutnya, PTPTN tidak wajar dimansuhkan kerana ia boleh memberi manfaat kepada pelajar secara menyeluruh, berbanding skim biasiswa yang memfokuskan kelompok pelajar elit yang cemerlang akademiknya.

sumber : sinarharian

No comments: