Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Mansuh caj perkhidmatan PTPTN

Polemik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nampaknya kembali hangat, terutama selepas pakatan pembangkang umum tawaran terbaru mereka kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan nanti.

Sememangnya, sejak awal diperkenalkan, isu PTPTN ini tidak pernah sunyi daripada polemik dan kembali menjadi tumpuan lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.

Bagi penulis, apa juga janji mesti realistik, praktikal dan bertanggungjawab dengan mengambil kira realiti dan masa depan negara.

Walau bagaimanapun, penulis masih berpegang pada pendirian sejak awal PTPTN diperkenalkan bahawa apa jua skim pinjaman pendidikan mesti bebas unsur diharamkan syarak.

Sememangnya pembangunan sistem mahupun instrumen alternatif bebas riba mustahak bagi memastikan kehidupan manusia lebih diberkati ALLAH. Ini bertepatan amaran ALLAH SWT: “Wahai orang beriman, bertaqwalah kamu kepada ALLAH dan tinggalkanlah saki-baki riba jika kamu benar-benar beriman. Jika tidak, ALLAH dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah:278-279)

Berkenaan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia kos sebenar pengurusan teknikal. Manakala caj melebihi kos sebenar adalah haram.

Ini bermakna sebarang caj mestilah berasaskan kos pengurusan sebenar dan bukan sekadar meletakkan peratusan seperti satu peratus, dua peratus atau tiga peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.

Sebaliknya, dibenarkan Majlis Fatwa OIC dan Piawai Syariah AAOIFI ialah apabila caj berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah RM600. Maka caj itu boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang diberikan.

Demikianlah perincian ulama dalam urus niaga pinjaman. Semua ini bagi mengelakkan wujudnya riba yang diharamkan. Elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam mencari jalan keluar bagi mempermudah urusan kehidupan masyarakat.

Justeru, mustahak dipastikan caj perkhidmatan kepada pelajar khususnya dalam konteks PTPTN yang dibincangkan ini, benar-benar mewakili kos sebenar perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman diberikan.

Berbalik isu mutakhir mengenai tawaran pemansuhan terus skim pinjaman PTPTN oleh pakatan pembangkang, penulis berpandangan tidak wajar dimansuhkan PTPTN kerana pinjaman PTPTN boleh dimanfaat oleh khalayak lebih besar berbanding skim biasiswa yang memfokuskan kelompok pelajar elit cemerlang akademik.

Pengenalan skim pinjaman PTPTN juga memberi peluang sesiapa sahaja tidak kira yang cemerlang di peringkat menengah mahupun kurang bernasib baik meneruskan pengajian di peringkat tertiary atau pengajian tinggi. Hakikatnya, kos pendidikan di peringkat tertiary lebih tinggi berbanding peringkat rendah dan menengah.

Walau bagaimanapun, penulis merasakan tiba masanya kerajaan mansuhkan terus caj perkhidmatan kepada peminjam. Mekanisme PTPTN yang mengenakan caj 1 peratus ke atas nilai pinjaman tidak menepati Piawai Syariah AAOIFI dan pandangan majoriti ulama di peringkat antarabangsa yang hanya membenarkan caj berpandukan kos sebenar seperti dibincangkan sebelum ini.

Penulis mencadangkan kerajaan sediakan peruntukan khas dalam bajet tahunan untuk menampung kos pengurusan PTPTN. Sesungguhnya, aspek pengurusan pendidikan dan hal berkaitan dengannya seharusnya menjadi sebahagian tanggungjawab kerajaan. Ini juga bagi memastikan hutang generasi muda dapat dikurangkan.


sumber : sinarharian

No comments: