Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Budak mangsa dera bapa

CHUKAI – Perbuatan seorang bapa yang dipercayai tergamak mendera anak kandungnya berusia tujuh tahun terbongkar apabila guru menyedari kesan lebam teruk pada badan murid lelaki darjah satu itu ketika waktu persekolahan kelmarin.

Murid sebuah sekolah di bandar ini, kelihatan trauma disyaki dipukul menggunakan tangan oleh bapanya yang bekerja sebagai jurutera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abd Marlik Hakim Johar berkata, mangsa dibawa oleh dua orang guru ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman (HK) untuk pemeriksaan dan rawatan sejurus kesan lebam berkenaan disedari guru.

Katanya, mangsa dibawa ke Unit Kecemasan, HK kira-kira jam 9.18 pagi kelmarin dan setelah pemeriksaan dilakukan, doktor yang merawatnya mendapati terdapat pelbagai kesan lebam pada anggota badan mangsa dipercayai disebabkan dipukul oleh bapa mangsa sendiri.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke wad pediatrik untuk pemeriksaan lanjut. Hasil siasatan awal, kita percaya murid tahun satu ini dipukul ketika berada di rumahnya yang beralamat di Taman Awana, Bukit Kuang,” katanya semalam.

Mangsa berada di bawah jagaan bapa kandungnya dan turut tinggal bersama ibu tirinya yang berusia 28 tahun.

Menurut Abd Marlik Hakim, susulan pemeriksaan yang dilakukan, doktor yang merawat mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari sama jam 12.16 tengah hari di Balai Polis Chukai.

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, beberapa individu termasuk ibu tiri mangsa telah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, Ghazali Awang, pihaknya memperoleh kelulusan mahkamah untuk penjagaan mangsa.

Mangsa yang dibenarkan keluar wad pagi semalam kemudiannya dibawa ke Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Jalan Alor Akar, Kuantan, Pahang.

sumber : sinarharian

No comments: