Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Jangan sampai jiran tidak kenal jiran

SAYA bersimpati dengan Aziz. Setiap tahun, pada ulang tahun hari jadinya, rakan baik saya itu akan terima kek dan kad ucap selamat daripada isteri dan anak-anak.

Tapi tahun ini, lain ceritanya. Sempena ulang tahun hari jadinya beberapa hari lalu, rumahnya di sebuah kawasan elit dekat ibu kota dimasuki sekumpulan perompak.

Mereka pecah masuk kira-kira jam 3 pagi, menghentak pintu bilik dengan parang dan merompak barang-barang berharga.

Rakan saya seorang bekas pegawai kanan yang handal dan berani, namun tidak mahu mengambil risiko untuk menjaga keselamatan anggota keluarga yang ada di bilik masing-masing.

Rompakan itu rupanya yang ketiga dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Habis telefon bimbit, komputer riba, kamera dan barang kemas isteri dan anak-anaknya dirembat penyamun.

Malang nasibnya; rumah besar, halaman luas, tapi kurang selamat. Apa pun syukur, dia dan anggota keluarganya selamat.

Tapi dia sudah serik tinggal di kawasan elit itu. Beberapa hari lalu, dia buat keputusan; mahu jual banglonya yang baru diduduki tidak sampai empat tahun, hendak beli rumah di tempat selamat.

“Biarlah rumah kecil sikit, asalkan tidur boleh lena,” katanya.

Apa yang berlaku kepada Aziz tidak secemas dialami penyanyi Mawi apabila empat perompak memecah masuk kediamannya di Bangi Golf Resort, beberapa hari selepas itu.

Ikut laporan akhbar, Mawi, isterinya, ibu mertua dan nenek diikat. Malah isterinya diacukan parang. Mawi dan keluarga rugi barang-barang dianggarkan bernilai RM10,000 tapi syukur, seperti juga keluarga rakan saya, tiada yang cedera.

Kejadian di rumah Mawi itu adalah kali kedua sejak dia tinggal di situ empat tahun lalu. Apa pun, Aziz dan Mawi tidak boleh pecah rekod seorang lagi kawan saya.

Dalam tempoh enam tahun, rumahnya dipecah masuk 14 kali. Barang daripada kasut buruk sampai komputer habis dikebas Tujuh kali dia buat aduan. Sudah lama juga saya tidak hubunginya. Jangan-jangan sudah ada kes baru pula. Entah apalah nasib kawan saya yang seorang itu!.

Baru-baru ini, seorang pensyarah pula cerita keretanya dihimpit oleh kereta mewah yang dipandu oleh lelaki berlagak samseng di lebuh raya.

“Nampak macam dia ada senjata api. Saya takut dan cepat-cepat berhenti di tepi lebuh raya. Kalau tidak mungkin sudah terbabas dan melanggar pengadang lebuh raya,” ceritanya.

Polis tidak pernah penat jalankan siasatan dan tangkap mereka yang terlibat. Mereka dihukum, tapi yang lain terus mengganas, seolah-olah hukuman tidak memberi bekas langsung.

Berdasarkan statistik Jabatan Penjara, setakat 28 Februari lalu, 860 penjenayah telah dijatuhkan hukuman mati dan kira-kira 79.500 dijatuhkan hukuman sebat antara 2005 dan 2011, dengan 41.7 peratus warga asing.

Itu belum masuk hukuman lain yang dikenakan ke atas beribu-ribu orang yang melakukan pelbagai jenayah lain.

Namun begitu, jenayah berlaku hari demi hari; bunuh secara kejam, rompak, ragut, simbah asid, pecah cermin kereta dan macam-macam lagi seolah-olah jenayah sudah menjadi satu budaya; sangat membimbangkan.

Barangkali, pihak berkuasa perlu melihat kemungkinan mewujud dan memperhebatkan lagi sistem rondaan dalam kalangan penduduk, seperti Rukun Tetangga (RT), di seberapa banyak kawasan yang mungkin.

Masa saya bertugas di Perak, khususnya di Ipoh, pada pertengahan tahun 70-an dahulu, RT berjalan dengan begitu aktif di kawasan perumahan di merata tempat. Keesokannya mereka yang ronda mendapat cuti sehari.

Rondaan antara tengah malam dan 4 pagi yang dijalankan penduduk dengan penyertaan anggota polis itu terbukti sangat berkesan. Ia bukan setakat membantu mengurangkan kejadian jenayah, bahkan tidak kurang penting, memberi peluang kepada penduduk menjalin perhubungan rapat dalam kalangan mereka.

Hasil rondaan demikian, penduduk kenal latar belakang jiran masing-masing dalam satu malam sahaja. Hendak harapkan jiran berkenalan secara sukarela? Saya tidak kata tidak boleh, tetapi anda pun tahu jawapannya.

Apa yang perlu diberi perhatian adalah masih banyak kawasan tiada rondaan begitu.

Akibatnya, jenayah payah dikawal dengan baik dan sedikit sangat jiran yang ambil inisiatif untuk kenal jiran masing-masing.

Gerakkanlah sekim rondaan seperti itu segera sebelum lebih ramai menjadi mangsa penjenayah dan ramai jiran tidak kenal jiran.

sumber : sinarharian

No comments: