Partime Job

Monday 16 April 2012

kerangka tingkap sekolah jatuh : Murid lari selamatkan diri


JOHOR BAHRU - Hampir 100 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze, di sini, lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila kerangka tingkap dewan sekolah jatuh terhempas dalam kejadian ribut petir berserta hujan dan angin kencang, petang semalam.

Sebelum kejadian terbabit, kesemua pelajar terbabit sedang menjalani latihan bola tampar dan yoyo Cina secara berkumpulan bermula sekitar jam 2 petang ditemani jurulatih masing-masing.

Bagaimanapun, latihan pelajar terbabit terhenti dan suasana kelam-kabut menyelubungi dewan sekolah terbabit sejurus kedengaran seperti atap zink di tepi dewan sekolah umpama mahu tercabut kerana ditiup angin kuat sekitar jam 2.15 petang.

Guru sekolah merangkap jurulatih Yoyo Cina, Phang Hai Dong, berkata, pada mulanya, keadaan seperti biasa dan kedua-dua kumpulan pelajar sedang berlatih secara berasing di dewan yang sama.

“Hujan mulai lebat dan kedengaran tiupan angin yang kuat. Saya berdiri berdekatan pintu dewan untuk meninjau persekitaran luar kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini pada kereta kerana kedengaran bunyi zink seakan mahu tercabut.

“Melihat keadaan seperti bertambah teruk, saya meminta pelajar segera berlindung di tempat yang selamat. Dalam beberapa minit kemudian, kerangka tingkap dewan terhempas jatuh, namun mujurlah tiada siapa yang tercedera. Kejadian menakutkan ini adalah kali pertama berlaku sepanjang hampir 14 tahun berkhidmat di SJKC Pu Sze,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas kejadian, di sini.

Dalam kejadian sama, hampir 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan 18 bilik darjah di sekolah terbabit diterbangkan angin kencang malah melayang sehingga ke Jalan Skudai sekali gus mengganggu aliran lalu lintas.

Turut hadir mengadakan lawatan ke sekolah terbabit adalah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh.

Guru Besar SJKC Pu Sze, Wong Loke Say berkata, tidak semua bilik darjah mengalami kerosakan selepas atap zink bangunan terbabit diterbangkan angin, sebaliknya hanya enam bilik di tingkat atas berserta perkakasan di dalamnya terjejas.

“Enam kelas ini menempatkan murid darjah enam untuk sesi pagi dan murid darjah tiga bagi sesi petang. Tiada siapa yang cedera dalam kejadian ini kerana tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PNP) berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, Kementerian Pelajaran akan menanggung semua kos bagi kerja baik pulih semua kerosakan yang dialami sekolah terbabit selepas taksiran kerugian dibuat oleh Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah.

“Saya menerima panggilan mengenai kejadian sekitar jam 3 petang dan bergegas ke sekolah ini. Menerusi tinjauan dibuat, kira-kira 70 hingga 80 peratus atap zink sebuah blok bangunan menempatkan bilik darjah diterbangkan angin selain sebuah kerangka tingkap dewan jatuh.

“Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed juga sudah saya hubungi untuk melaporkan mengenai kejadian ini untuk memberikan peruntukan segera bagi membolehkan sekolah melakukan kerja baik pulih kerosakan.

“Jadi, kementerian sedang menantikan laporan taksiran kerugian dialami sekolah daripada Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah supaya kerja baik pulih dapat dilakukan segera,” katanya.

Difahamkan, ribut kencang yang berlaku di situ dikenali sebagai angin ‘langkisau’ dengan kelajuan luar biasa sekali gus mampu untuk menerbangkan bumbung-bumbung rumah dan sekolah di kawasan terlibat.

Berdasarkan laporan portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir akan melanda beberapa tempat di negeri ini pada sebelah petang, namun tiada hujan dilaporkan pada sebelah pagi dan malam.

Malah, mengikut portal rasmi jabatan itu di www.met.gov.my ribut petir akan terus berlaku di beberapa tempat di negeri ini hingga 20 April ini.

sumber : sinarharian

No comments: