Partime Job

Monday 16 April 2012

Berang gigit tangan Imigresen


IPOH - Berang sarang persembunyian ditemui, seorang wanita warga asing telah bertindak agresif menggigit tangan kanan seorang anggota Jabatan Imigresen Perak dalam satu serbuan Ops 6P, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa diserang warga Indonesia itu selepas lokasi persembunyian di tapak pembinaan Bandar Sri Botani berjaya dikesan dalam operasi tersebut.

Difahamkan wanita tersebut pada mulanya cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran, namun sempat dikejar sebelum bertindak agresif dan cuba menggigit tangan penguatkuasa tersebut.

Bagaimanapun tindakan itu berjaya ditenteramkan dan dikumpulkan bersama kumpulan pendatang asing lain.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Negeri, Ahmad Puat Abd Hamid berkata, ketika serbuan dilakukan, kebanyakan warga asing yang dipercayai bekerja di tapak pembinaan itu lari bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing.

Menurutnya, tindakan pantas 50 anggota dan pegawai yang dibantu 29 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya mematahkan cubaan itu.

“Seramai 169 warga asing termasuk 43 wanita ditahan dan daripada pemeriksaan yang dilakukan didapati, 127 daripada mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan serta pas kerja yang sah,” katanya.

Daripada 127 yang ditahan, 117 adalah warga Indonesia dan 10 warga Bangladesh.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/ 63 (Akta 155) dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.

Ahmad Puat berkata, majikan mereka akan dipanggil bagi mengemukakan dokumen berkaitan bagi membuktikan kehadiran warga asing berkenaan sebagai pekerja.

“Majikan yang dikenal pasti menggaji pendatang asing tanpa izin ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: