Partime Job

Monday 16 April 2012

Perompak selamba, keluar tanpa ambil apa-apa


BUKIT MERTAJAM – Seorang perompak yang memecah masuk rumah kakitangan percetakan Sinar Harian, Hussaini Arshad, 26, di Taman Sentul Jaya, Juru dekat sini, masih boleh berjalan dengan selamba meskipun kehadirannya disedari tuan rumah.

Kejadian sekitar jam 4 pagi itu disedari isteri, Rahaya Yahya, 26, yang terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi kucing bergaduh sebelum terkejut melihat kelibat seorang lelaki merangkak di hujung katil dalam bilik tidur.

Rahaya berkata, sebaik menyedari kehadirannya diperhatikan, lelaki yang tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek itu kemudiannya bingkas bangun lalu berjalan keluar tanpa sempat mengambil apa-apa barang dalam bilik itu.

“Saya syak dia mahu mengambil komputer riba yang berada di sebelah saya. Tetapi, mujur sedar dan nasib baik juga dia tidak apa-apakan saya

“Selepas lelaki itu beredar, saya segera mengunci pintu. Tidak lama kemudian, terdengar bunyi dari arah dapur. Saya kemudiannya menjenguk ke luar melalui tingkap bilik dan terlihat lelaki itu beredar dari rumah melalui pintu belakang,” katanya.

Dia kemudiannya keluar dari bilik dan mendapati beg tangan yang diletakkan di ruang tamu hilang.

Katanya, dia kerugian ratusan ringgit berikutan terdapat tiga bentuk cincin dalam beg yang dilarikan, selain kad mesin juruwang automatik (ATM), jam tangan, lesen memandu dan pas kerja.

Rahaya berkata, laporan dibuat di Balai Polis Bukit Tengah pada jam 6.16 pagi.

Dia dan suami yang baru berpindah ke situ tiga minggu lalu berkata, perompak dipercayai memanjat tembok dan mengumpil pintu belakang sebelum masuk ke rumah, berikutan terdapat kesan tapak kaki di tembok belakang dan juga kesan umpil.

Tambah Rahaya, jirannya ada memberitahu pernah terlihat seorang lelaki, dipercayai perompak itu yang berlegar-legar di belakang rumah pada minggu pertama mereka berpindah.

Malah, dia turut mengesyaki beberapa siri pecah rumah sebelum ini dilakukan individu sama berdasarkan gambaran jirannya yang turut pernah menjadi mangsa.

“Lelaki itu dilihat seperti tahu akan selok-belok di dalam rumah, kerana dia begitu tenang dan tidak tergesa-gesa. Mungkin dia sudah buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: