Partime Job

Monday 16 April 2012

Mayat adik dalam longkang


KOTA TINGGI - Seorang lelaki ditemui mati oleh abangnya di dalam longkang di sebuah kilang kosong di Kawasan Perindustrian Lukut, dekat sini, jam 7 malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Azwan Johan, 24, ditemui mati dengan kesan kecederaan di dahi dan badannya.

Farid Johan, 31, berkata, dia yang baru selesai menunaikan solat Jumaat, telah dimaklumkan sepupunya bahawa adiknya itu tidak pulang ke rumah.

Dia yang bimbang dengan keselamatan adiknya disuruh sepupunya yang dikenali sebagai, Azrin, 35, mencari mangsa di kawasan kilang Lukut.

“Selepas lebih 6 jam mencari, saya dan seorang sepupu telah memanjat tembok batu sebuah kilang kosong di Lot 32, kawasan perindustrian tersebut, dan saya amat terkejut apabila melihat mayat adik di dalam longkang di kilang itu,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Low Hang Seng berkata, punca kematian mangsa masih dalam siasatan, namun tidak menolak ia berlaku akibat serpihan besi penutup kabel elektrik yang meletup.

“Seorang lelaki lain yang mempunyai kaitan persaudaraan dengan mangsa yang dipercayai turut bersama mangsa ketika kejadian kini dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) akibat cedera di dahi dan badan.

“Saya difahamkan pada awalnya dia enggan dihantar ke hospital sebaliknya meminta pengawal keselamatan kilang berhampiran menghantarnya pulang ke rumah di Kampung Lukut yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ.

“Bagaimanapun ahli keluarganya telah menghantarnya ke HKT untuk mendapatkan rawatan. Dia yang berada di dalam keadaan trauma dan kebingungan telah meminta warisnya agar mencari mangsa di kawasan kilang perindustrian tersebut,” katanya.

Hang Seng berkata, pihaknya menolak khabar angin bahawa kejadian itu disabitkan dengan kes bunuh.

“Polis juga sedang mengambil keterangan seorang lagi rakan mangsa bagi memberi gambaran sebenarnya mengenai kejadian itu. Dan kita juga masih menunggu hasil bedah siasat pasukan perubatan,” katanya.

Katanya, Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) telah dipanggil untuk membantu siasatan dan mayat mangsa yang mulanya dihantar ke HKT kini dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, tengah malam kelmarin.

sumber : sinarharian

No comments: