Partime Job

Thursday 19 April 2012

Ibu dagang zuriat cacat

SHAH ALAM: Seorang bayi cacat anggota berusia lima bulan yang dijual pada harga RM6,000 oleh sindiket jual bayi kepada orang ketiga berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah di Perdana Villa Apartment, Taman Sentosa, Klang, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, kecacatan bayi berkenaan menyebabkan harga ditawarkan rendah oleh sindiket sama yang tumpas 6 April lalu, berbanding harga bayi normal.


Bayi mempunyai dokumen lengkap pengenalan diri itu dapat diselamatkan susulan tangkapan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun di Tanjung Sepat, Banting, pada malam Isnin lalu yang juga ibu kandung bayi terbabit. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, siasatan awal mendapati bayi itu sudah dijual kepada sepasang suami isteri berusia 30-an pada November tahun lalu. Menurutnya, serbuan dilaksanakan selepas mendapat maklumat dan risikan selain hasil soal siasat terhadap suspek. Reman terhadap suspek berakhir Ahad ini.

“Ketika serbuan jam 5.45 petang itu, bayi berkenaan berada dalam sebuah unit kediaman di Perdana Villa Apartment, Taman Sentosa, Klang, bersama ibu dan bapa angkat yang membelinya.


“Siasatan awal setakat ini mendapati sindiket pemerdagangan bayi mengambil kesempatan dengan kesukaran perempuan hamil tidak bersuami untuk meraih keuntungan. “Suspek yang juga ibu bayi diselamatkan dalam serbuan terbaru tidak bekerja dan bayi dijual itu anak teman lelakinya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana suspek boleh terbabit urusan pemerdagangan bayinya yang dipercayai didalangi sindiket sama yang tumpas pada 6 April lalu.

Ditanya berapa banyak suspek terima daripada bayaran RM6,000 untuk urusan jualan bayinya itu, Mohamad berkata, perkara itu juga dalam siasatan.


“Kami percaya sindiket hanya menganggap golongan mempunyai masalah peribadi seperti mereka ini umpama kilang membuat bayi untuk mengaut keuntungan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

sumber : hmetro

No comments: