Partime Job

Monday 16 April 2012

Gangguan bekalan air di Seremban, Jelebu 17 April

SEREMBAN - Beberapa kawasan di Seremban dan Jelebu akan mengalami gangguan bekalan air Selasa ini berikutan kerja-kerja pengalihan paip dan pencucian kolam berjadual.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) Azlan Abdul Aziz berkata gangguan bekalan air di Seremban melibatkan Taman Bukit Galena mulai pukul 10 pagi hingga 4 petang manakala Kampung Mawar dan Kampung Baru Mambau mulai pukul 10 pagi hingga 2 petang.

"Gangguan bekalan air di Jelebu pula mulai pukul 8 pagi hingga 8 malam melibatkan Pekan Titi, Sungai Muntoh, Kampung Sungai Rotan 1 dan 2, Taman Mawar, Taman Desa Permai, Taman Sri Kenaboi, Taman Bukit Kempas, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Penjara Jelebu, Pusat Akidah, Pusat Serenti, Kampung Puom, Kampung Chennah, Kampung Chalin, Felda Titi dan Perikanan Jelondong," katanya di sini, hari ini.

Katanya kerja-kerja pengalihan paip dan pencucian kolam berjadual ini merupakan antara usaha berterusan Sains dalam menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan para pelanggan pada masa depan.

Azlan berkata bekalan air dijangka akan disambungkan semula secara berperingkat selepas tempoh tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami gangguan memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya di kawasan mereka akan mengambil masa.

Para pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982. - Bernama

No comments: