Partime Job

Monday 16 April 2012

Bunyi muzik hingga 5 pagi


GEORGETOWN – Bunyi bising yang mengganggu penduduk selama bertahun-tahun lamanya pada waktu malam sehingga menjelang pagi berakhir semalam.

Bunyi bising dari sebuah pusat hiburan yang terletak di Lebuh Campbell itu dipercayai beroperasi lebih dari 10 tahun, namun sering bertukar pengurusan.

Gangguan muzik yang kuat bermula dari jam 12 tengah malam sehingga ke 5 pagi itu dipercayai mengganggu penduduk sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Aduan demi aduan sudah dilakukan penduduk, namun premis berkenaan dilihat seolah-olah kebal sehingga ia masih berjalan seperti biasa.

Akhirnya, Bahagian Perlesenan dan Penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) buat pertama kalinya berjaya memasuki premis berkenaan setelah beberapa kali gagal sebelumnya.

Dalam operasi yang bermula dari jam 1 pagi hingga 3 pagi itu membolehkan sistem pembesar suara bernilai hampir RM100,000 dirampas.

Anggota penguat kuasa terpaksa menghadapi risiko dengan memanjat tangga setinggi lebih 10 meter bagi menanggalkan pembesar suara yang mempunyai berat hampir 30 kilogram.

Kedengaran pemilik premis berkali-kali memberi amaran dengan mengatakan ‘pecah lu ganti’, malah dia juga dilihat mundar mandir di sekeliling premis.


Penduduk adu ke SPRM

Menurut sumber, ada di antara penduduk yang geram sehingga membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memaklumkan seolah-olah ada pihak berkuasa tempatan (PBT) dirasuah.

“Sebenarnya tanggapan penduduk salah, kerana kami memantau pusat hiburan ini setiap masa dan setiap kali kami datang, pastinya premis ini tutup dan terbaru ia baru sahaja dinaiktarafkan.

“Pihak MPPP komited untuk menangani masalah ini, namun kebocoran maklumat sering berlaku menyebabkan ia gagal,” katanya.

Satu lagi sumber memberitahu pusat hiburan itu juga menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Pengusahanya pernah memohon lesen daripada MPPP, namun gagal diluluskan kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Sebelum ini pemilik premis pernah dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil MPPP bagi Akta Pusat Hiburan dan boleh dikompaun sehingga RM20,000. Kebiasaannya kami mengenakan kompaun kepada pemilik, namun dia masih boleh membayarnya.

“Kali ini berbeza kerana kami mengambil tindakan untuk merampas barangan mereka, kerana ia akan mengambil masa untuk pengusaha menjalankan operasi,” katanya.


Tidur sering terganggu

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh Bahagian Perlesenan MPPP di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi mengesahkan jumlah barangan rampasan.

Hadir sama dalam operasi hampir tiga jam berkenaan ialah anggota polis dan pegawai SPRM.

Sementara itu penduduk, Low Teik Moon, 52, berkata, dia lega dengan operasi yang dilakukan MPPP kerana membolehkan dia bersama isteri tidur lebih nyenyak.

Menurutnya, sebelum ini tidurnya sering terganggu kerana bunyi muzik yang kuat dari pusat hiburan itu.

“Kami sudah tinggal di sini lebih 40 tahun. Dulu aman, tapi sejak dua tiga tahun ini sangat bising. Boleh sakit jantung dengar bunyi muzik kuat hari-hari, tidak salah hendak berniaga tapi janganlah sampai pagi dan melampau,” katanya.

Bagi pemilik kedai makan, Michelle Ong pula memaklumkan pusat hiburan berkenaan tidak membawa sebarang faedah kepada penduduk setempat.

“Kami tinggal di sini sudah lama, di Lebuh Penang atau Lebuh Chulia sememangnya sudah banyak pusat hiburan. Dahulu bangunan berkenaan adalah tempat menonton wayang Cina.

“Penduduk di sini berharap supaya MPPP buat lagi operasi dan sentiasa memantau mereka,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: