Partime Job

Monday 16 April 2012

Cucu sedar bilik berasap


KLEBANG - Jeritan cucu yang terlihat asap dari salah sebuah bilik di rumah mengejutkan sepasang suami isteri yang sedang berehat di halaman, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang di Kampung Pinang B, Batang Tiga, di sini itu, Yusof Bakar, 66, dikejutkan dengan jeritan Mohd Irfan Mohd Firdaus, 6, yang memberitahu ternampak asap di bilik berkenaan.

“Sebelum kejadian, saya dan isteri sedang duduk bersantai di halaman rumah. Mohd Irfan pula bermain permainan video dalam bilik itu, sementara dua anak saya bekerja dan empat cucu lain ke sekolah agama,” katanya.

Pesara guru itu berkata, selepas dikejutkan dengan jeritan Mohd Irfan, dia berlari dan mendapati api membakar permaidani di bilik berkenaan, sebelum bertindak mengambil sebaldi air, bagaimanapun gagal memadamkan api.

“Dengan bantuan jiran saya sempat mengeluarkan sebuah almari perhiasan dan kusyen kerana api marak dengan cepat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Yusof, kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas di bilik berkenaan memusnahkan semua barangan berharga dan dokumen penting, membabitkan anggaran kerugian RM180,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Razak Manap berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.24 petang dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.

“Sebanyak tiga jentera membabitkan 20 pegawai dan anggota dari balai bomba Tangga Batu dan Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Api dapat dikawal pada 6.47 petang dan dipadamkan sepenuhnya jam 7.20 malam,” katanya.

Menurutnya, kebaka­ran­ mengakibatkan 70 peratus daripada struktur rumah hangus.

sumber : sinarharian

No comments: