Partime Job

Thursday 12 April 2012

Cemas cuba padam api marak


BUKIT MERTAJAM – “Saya nampak api dalam stor, saya cuba padam guna hos tapi, tak berjaya sebab tekanan air rendah.

Tambahan, api sudah mulai marak dan merebak ke kelas,” kata Syafiq Hussaini Mahadzir, 15, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah, saksi kebakaran yang memusnahkan sebuah kelas dan stor, dekat Jalan Padang Lalang, di sini, pagi semalam.

Syafiq memberitahu, dia kebetulan lalu di kelas terletak di tingkat bawah blok tiga tingkat itu untuk ke makmal komputer di blok sama.

Menurutnya, bagaimanapun, dia terkejut melihat api sedang marak di dalam bilik stor, lalu bertindak pantas me-ngambil hos kecemasan untuk memadam kebakaran dan sempat memanggil seorang rakan untuk membantu.

“Namun, usaha kami memadamkan kebakaran gagal apabila api marak cepat dan mulai merebak ke seluruh bilik itu yang turut menempatkan sebuah kelas. Melihat api makin menjulang tinggi, saya yang cemas segera memaklumkan kejadian kepada penyelia asrama sebelum bomba dihubungi sejurus kemudian.

“Saya juga cuba menekan loceng kecemasan, tetapi, ia tidak berfungsi. Saya hanya mampu melihat api membakar seluruh kelas sebelum pihak bomba tiba” katanya.

Dalam pada itu, Penyelia asrama sekolah terbabit, Osman Mat Amin, 56, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah yang terletak beberapa meter dari sekolah.

Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan seorang pelajar bahawa sekolah mereka sedang terbakar, lalu segera menelefon bomba, dan masa sama bergegas untuk melihat kejadian.

“Saya memang sedang bersiap-siap ke sekolah kerana ada kuliah agama. Tidak sangka pula kejadian ini berlaku.

“Bilik yang terlibat merupakan kelas pelajar tingkatan tiga, dan stor berada di dalam kelas berkenaan menempatkan kerusi yang sudah tidak boleh digunakan lagi, selain sistem pembesar suara,” katanya.

Osman berkata, ketika kejadian tiada pelajar di kelas berkenaan berikutan sekolah sedang bercuti sehari sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Perda, Hadzi Mohd Yusoff ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan awam pada jam 7.38 pagi, lalu bergegas ke tempat kejadian seminit kemudian sebelum tiba jam 7.44 pagi.

Beliau berkata, tiga jentera dengan kekuatan 12 anggota berusaha memadam kebaka-ran daripada terus merebak ke tingkat atas dan kelas di sebelahnya.

“Kebakaran melibatkan sebuah stor berkeluasan 10 kali 12 kaki persegi. Ketika tiba, api sedang marak, namun, berjaya dikawal dan padam sepenuhnya dalam masa lima minit.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: