Partime Job

Thursday 12 April 2012

Trauma 2004, penduduk Kuala Muda berpindah walaupun tiada arahan

SUNGAI PETANI - Trauma dengan kejadian tsunami yang berlaku lapan tahun lepas menyebabkan penduduk di Kota Kuala Muda dekat sini mengambil keputusan sendiri untuk berpindah setelah merasai gegaran yang kuat petang semalam walaupun tiada arahan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Kesan gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter di Aceh petang semalam, lebih 500 orang dari beberapa kampung di Kota Kuala Muda nekad berpindah.

Antara kampung yang berisiko tinggi terhadap ancaman tsunami di Kota Kuala Muda ialah Kampung Kuala Tepi Sungai, Kampung Kepala Jalan, Kampung Padang Salim, Kampung Keda dan Kampung Hujong Matang.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di sekitar Kota Kuala Muda malam tadi terkawal dan penduduk berpindah beramai-ramai ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kuala Muda iaitu kira-kira 2.5km jauh dari kawasan pantai.

Walaupun nasihat tsunami ditarik balik di Malaysia pada pukul 10 malam oleh Jabatan Mateorologi Malaysia, penduduk tetap tidak mahu pulang ke rumah masing-masing kerana tidak yakin terhadap perkara itu.

Seorang penduduk Kampung Kepala Jalan, Hasnah Shuib, 56, berkata dia merasai gegaran kuat itu pada pukul 4.30 petang dan bertindak lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Kami lari keluar bawa baju dan barangan serta dokumen penting sahaja sebab apa yang penting adalah untuk selamatkan diri. Itu pun selepas kami keluar rumah gegaran kedua berlaku sekali lagi pada pukul 6.30 petang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kota Kuala Muda dekat sini malam tadi.

Hasnah berkata dia bersama ahli keluarganya itu berpindah keluar tanpa arahan daripada pihak berkuasa kerana masih mengingati dan terbayang-bayang sejarah hitam tsunami lepas.

Ketika kejadian tsunami 2004, kawasan Kuala Muda adalah antara kawasan paling teruk menerima kesan tsunami itu dan lapan penduduk kawasan itu maut.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kuala Tepi Sungai Ismail Osman, 57, berkata peristiwa hitam yang berlaku pada 26 Dis 2004 itu masih menghantui dan berlegar-legar di fikiran mereka sehingga merasakan ingin lari sejauh yang mungkin.

Di ALOR SETAR, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) negeri Mohd Helmi Yaakob berkata walaupun amaran tsunami di Malaysia telah ditarik, JPAM Kedah tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

"Malam tadi, JPAM memindahkan lima keluarga di daerah Kuala Muda yang trauma dan mahu menyelamatkan diri lebih awal bagi mengelak manjadi mangsa tsunami seperti yang berlaku pada Disember 2004 dan di tempatkan di sebuah sekolah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

No comments: