Partime Job

Thursday 12 April 2012

Anak menjerit lihat bumbung terbang


LABU KUBONG - “Jeritan anak-anak di dapur apabila bumbung rumah terbang ditiup angin menyedarkan kami suami isteri yang ketika itu berada di ruang tamu,” kata Ismail Omar, 51.

Ismail berkata, ribut yang melanda jam 5.30 petang itu menerbangkan lebih kurang 10 zink rumahnya.

Menurutnya, ketika kejadian, dua anaknya sedang mengulang kaji pelajaran di bahagian dapur manakala selebihnya berehat di ruang tamu.

“Kejadian itu bermula ketika hujan lebat diikuti tiupan angin kuat yang berlarutan kira-kira 20 minit. Anak saya yang berada di dapur menjerit mengatakan zink di bahagian itu sudah diterbangkan angin.

“Akibatnya bahagian dapur basah dimasuki air, bagaimanapun saya menggantikan bumbung lewat petang semalam (kelmarin) menggunakan zink lama untuk sementara,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Hadir melawat ke kawasan, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Seorang lagi mangsa ribut, Mahmod Hanafi, 48, berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan dekat sini.

Katanya, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, dia menerima panggilan daripada isterinya mengatakan sebahagian siling tercabut diterbangkan angin sebelum bergegas pulang ke rumah.

“Saya tidak sangka kejadian petang semalam (kelmarin) menyebabkan kira-kira 20 zink diterbangkan angin dan ini adalah kali pertama berlaku ke atas rumah ini,” katanya ketika ditemui di Parit 3/7 R, Kampung Setia Jaya.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, di kawasan Labu Kubong lebih kurang tujuh rumah terjejas akibat kejadian ribut petang kelmarin.

Jelasnya, pihaknya menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sungai Manik telah mengenal pasti mangsa ribut untuk diberikan bantuan sepatutnya.

“Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hilir Perak juga melawat keadaan rumah mangsa untuk dinilai sebelum diberikan bantuan. Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah turut akan datang bagi melihat keadaan rumah yang terjejas dan saya berharap mangsa ribut dapat bersabar kerana ini adalah salah satu dugaan untuk menguji umat-Nya,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: