Partime Job

Monday 19 March 2012

Yayasan Nur rai anak asnaf

RAWANG – Seramai 40 kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun dari Rumah Anak Asnaf Kasih Harmoni dirai pada program Amal Kasih Yayasan Nur dengan­ kerjasama majalah Remaja, kelmarin.

Selain penglibatan ahli Yayasan Nur, majalah Remaja turut membawa peserta Hero Remaja mengecat­ Tadika iaitu tempat anak asnaf dari tiga asrama itu belajar.

Guru tadika yang juga pengelola asrama, Siti Noreha Mohd Sharif terharu keprihatinan Yayasan Nur yang meluangkan­ masa dan peka dengan rumah asnaf sekali gus meringankan beban.

“Kita bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang belum didaftarkan kerana belum memenuhi spesifikasi ditetapkan menyebabkan kami bergantung sumbangan badan korporat dan individu perseorangan sebagai sumber pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Biro Karangkraf Peduli Duafa, Al­maswa Che Ros berkata, program amal kasih ini projek pembuka tirai sesi 2012 yang akan disusuli beberapa lagi aktiviti yang dirangka.

“Yayasan Nur bertujuan memperkenalkan projek tanggungjawab sosial korporat Karangkraf Peduli dengan lima teras ditekankan iaitu muafakat, alam, jujur, duafa dan Iqra untuk membantu dan meringankan beban masyarakat.

“Tumpuan program hari ini (semalam) mengecat Tadika selain sumbangan RM2,000 daripada Yayasan Nur dan RM500 daripada penaja cat Kansai Coating Paint Sdn Bhd.

Katanya, beberapa program akan menyusul dalam masa terdekat di mana Yayasan Nur akan ke Pendang, Kedah untuk memberi sumbangan kepada keluarga kurang mampu dan sasaran 200 keluarga.

“Yayasan Nur juga merancang menyediakan perpustakaan mini memuatkan­ buku terbitan Karangkraf di Pantai Dalam bulan depan.

“Projek hujung tahun pula melibatkan pelajar sekolah dengan memberi sumbangan peralatan sekolah,” katanya.

Katanya, Yayasan Nur turut menggalakkan dan mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat untuk menjayakan program dirancang.

Wakil Kansai Coating Paint Sdn Bhd, Richard Leong berkata, pihaknya gembira terlibat program Yayasan Nur.

“Setiap tahun, syarikat mempunyai sasaran pemasaran dan tahun ini, kami tekankan soal kebajikan kerana selain dapat mendekatkan diri dengan masyarakat, kita dapat memberi pendedahan bukan tertumpu kepada perniagaan sahaja,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: