Partime Job

Monday 19 March 2012

Kakak: Suhaila perlu kuat semangat

SHAH ALAM - “Tiada apa yang lebih membahagiakan kami sekeluarga, jika dapat melihat Suhaila sihat seperti biasa." Itu yang diluahkan kakak Suhaila, Nur Shahira Tukijan, 17.

Mereka begitu rapat. Berbeza usia dua tahun, mereka seperti kembar apatah mempunyai minat yang sama iaitu membaca novel.

Sejak mengetahui adiknya menghidap penyakit ‘Congenital Disorder’, pilu hatinya. Namun dipendam rasa sedih itu. Hanya senyuman yang mampu dilemparkan. Merekalah teman ketawa, bergaduh dan bermanja. Tiada rahsia antara mereka.

“Ya ALLAH, semoga Kau pulihkan adikku. Tidak tertanggung sakit yang dialaminya,” doa yang acap kali diungkap Nur Shahira setiap kali melihat susuk tubuh adiknya itu.

Bercerita kali pertama melihat adiknya rebah dan perkara itu benar-benar tidak disangkanya.

“Kejadian itu berlaku hampir tiga tahun lalu. Saya ingat dia sakit perut biasa. Biasalah perempuan dan senggugut. Tapi melihat wajah pucat dan keadaan dirinya tidak keruan, saya panik.

“Setiap kali pemeriksaan saya akan ikut. Apabila dimaklumkan, Ila menghidap penyakit yang tak pernah saya dengar macam ni, rasa sedih sangat.

“Sudah pasti, rawatannya sukar dan mahal. Manalah kami mampu untuk menanggung semua itu. Ditambah Ila masih muda. Nak tak nak, dua kali Ila dibedah.

“Namun, hampa. Penyakit itu seakan tidak mahu jauh dengannya. Saya lihat ibu tidak pernah lekang dengan komputer riba mencari penawar yang saya tahu agak sukar untuk ditemui. Tambah dengan penyakit yang jarang ditemui seperti ini,” katanya.

Nur Shahira mengakui terkejut apabila diberitahu penyakit seumpama ini hanya kurang 200 penghidap di seluruh dunia, air matanya mengalir tanpa saya memintanya.

“Hanya doa dan harapan saya hulurkan buat Ila. Saya tidak mahu kehilangan dia dan berdoa ujian kecil ini akan segera berakhir,” katanya.

Sementara itu, adik bongsunya Mohd Akmal Tukijan, 11, turut sedih dengan apa yang berlaku terhadap kakaknya, Ila.

“Setiap kali saya ternampak kak Ila sakit, saya takut. Keadaannya meronta dan saya takut sesuatu yang buruk terjadi.

“Saya tak mahu kak Ila sakit macam tu lagi. Kak Ila juga tak pernah lupa untuk makan ubat. Saya mahu kak Ila sihat macam dulu. Kami boleh bermain macam dulu. Buat masa sekarang, kak Ila tak boleh aktif sangat. Saya sedih. Semoga Tuhan memberi peluang kepadanya untuk kembali seperti biasa,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: