Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 19 March 2012

Kes kanak-kanak hilang: Usah tuding jari, ambil iktibar

Jangan cepat membuat spekulasi, sebaliknya ambil iktibar ke atas siri pembunuhan, penculikan atau kes hilang anak yang berlaku di negara ini. Kepekaan masya­rakat juga tidak boleh hanya secara bermusim atau menunggu apabila sesuatu kejadian dihebahkan menerusi media.

Sebaliknya, perasaan takut jika anak diperlakukan penjenayah adalah perlu pada setiap saat. Pada masa sama, jangan gemar mencari kesalahan orang lain sekiranya berlaku tragedi tragis melibatkan kanak-kanak.

Ini kerana, setiap kali masyarakat­ digemparkan berita anak hilang disusuli tragedi menyayat hati, ramai seolah-olah menuding jari kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit.

Berikutan beberapa siri pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak sebelum ini, wujud segelintir pandangan yang mengecam keluarga mangsa sebagai kurang prihatin kerana membiarkan anak yang masih kecil keluar rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

Nurin Jazlin Jazimin, 8, Sharline Mohd Nashar, 5, Asmawi Jalaludin, 11, dan kes terbaru, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, antara kanak-kanak yang ditimpa musibah selepas keluar rumah bersendirian, walaupun jarak dari tempat kediaman tidaklah sejauh mana.

Ibu Nurin Jazlin, Norazian Bistaman, 40, mengatakan, orang ramai jangan terus mencari salah atau keburukan sesiapa apabila tragedi berlaku, sebaliknya mengambil iktibar ke atas apa yang menimpa Nurin Jazlin atau kejadian seumpamanya, seperti mana dia dan keluarganya alami kini.

Suaminya, Jazimin Abdul Jalil, 38, mencelah bahawa kejadian Nurin Jazlin bukanlah semudah disangkakan oleh orang ramai kerana sememangnya mereka berdua tidak pernah membiarkan anak keduanya itu mahupun anak yang lain keluar rumah bersendirian untuk tempoh lama atau keluar bermain sehingga larut malam.

“Jika saya dan isteri seperti itu, mungkin kami boleh ditohmah cuai. Lagi pula, sebelum malapetaka tersebut, Nurin Jazlin bukan seorang yang gemar keluar bersendirian dan dia bukan mudah ikut orang tidak dikenali. Saya kenal anak saya,” tegas Jazimin.

Tambahnya, dia beranggapan anaknya itu hilang ketika berada sekitar tangga berhampiran rumah dan direntap secara pantas oleh pembunuhnya.

“Mungkin juga ini berlaku kerana tiada siapa yang tahu. Apa yang hendak saya katakan ialah, kejadian di luar dugaan dan boleh terjadi kepada sesiapa pun,” katanya.

Norazian menambah, terdapat sesetengah tohmahan orang ramai seperti keterlaluan­, namun kepahitannya ditanggung jua sambil dia sekeluarga meniti iktibar peristiwa lalu.

“Saya dan suami melalui kepahitan dahsyat sehingga saya takut melihat beg pakaian. Saya trauma untuk membayangkan mayat anak saya yang diperosok ke dalam beg. Selama hampir lima tahun ini, saya hanya menggunakan plastik. Oleh itu, saya tekad tidak mahu kejadian dulu berulang,” katanya.

Tegas wanita itu, dia tidak mahu kebahagiaan bersama kesemua permata hatinya, Nurin Jazshira, 14, Nurin Jazrina, 11, Nurin Jazlisa, 6, dan Jazley Nazril, setahun tiga bulan diragut lagi.

“Saya berpegang kepada peringatan ini, kerana pembunuh kak ngah (panggilan mesra Nurin Jazlin) masih tidak ditangkap.

“Kini kami lebih berhati-hati dengan mengajar anak-anak yang lain supaya tidak dekat dengan orang yang tidak dikenali dan selalu beri peringatan supaya mereka berjalan dalam kumpulan ketika pulang dari sekolah.

“Oleh itu, saya berpesan supaya masyarakat mengambil iktibar buat selama-lamanya. Bukan secara bermusim atau menunggu apabila kes kanak-kanak hilang dilaporkan media, baru hendak ketakutan atau berjaga-jaga,” akhiri Norazian.

Berkongsi perasaan ialah ibu Sharline, Suraya Ahmad, 32, yang juga inginkan masyarakat mengambil iktibar ke atas peristiwa menimpa kanak-kanak itu yang hilang tanpa dapat dijejak lagi.

“Apa yang berlaku kepada keluarga kami diharap menjadi pengajaran berharga buat ibu bapa lain kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya,” kata Suraya yang kini menetap di Kampung Padang Pulut, Dungun, Terengganu.

Suraya bersetuju bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya diizinkan keluar bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa.

“Sedikit sahaja kealpaaan maka natijahnya boleh membawa derita seumur hidup,” ujar wanita tabah itu.

Walau apa juga berlaku, Suraya tetap menyemat harapan, bahawa Sharlinie akan pulang ke pangkuannya dan suami, Mohd Nashar Mat Hussain, 33, suatu hari kelak.

Seorang lagi wanita yang melalui kepahitan akibat hilang anak ialah Rozita Abu Hassan, 55.

Baginya, kehilangan Asmawi atau Awie pada 2008 sukar untuk diterjemahkan puncanya berikutan anak bongsunya itu lenyap tiada khabar sehingga sekarang.

“Pada hari kejadian, Awie tidak membawa wang dan bukan seorang diri. Sebaliknya dia berjalan dengan seorang rakan baiknya.

“Namun kawannya itu sampai ke rumah dahulu. Kemudian dia hilang dalam perjalanan pulang dan jaraknya bukanlah jauh dari rumah saya.

sumber : sinarharian

No comments: