Partime Job

Monday 26 March 2012

Warga Emas Dibelasah sehingga tersungkur


ALOR GAJAH - Rayuan warga emas ketika dibelasah penjenayah yang menceroboh masuk rumahnya tidak ­dipedulikan, malah perompak terbabit berterusan memukulnya dengan besi hingga ­tersungkur di Kampung Lubok Kepong, Simpang Ampat, Selasa lalu.

Menceritakan kejadian mencemaskan itu, Rosnah Mahmod, 65, berkata, kira-kira jam 3 petang sebelum ­kejadian dia pergi ke rumah seorang jiran sebelah ­rumahnya untuk menghantar lebihan sayur pemberian orang kampung.

Menurutnya, dia sempat berbual bersama jirannya ­seketika sebelum meminta diri pulang ke rumah selepas ­teringat rumahnya tidak berkunci.

“Tanpa mengesyaki apa-apa saya terus membuka pintu belakang sebelum memasuki rumah.

“Semasa membuka pintu saya ternampak seorang lelaki sedang menyelongkar pakaian di dalam bilik sebelum dia ­meluru ke arah saya dan memukul dengan besi,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas tiga hari menerima ­rawatan di Hospital Melaka.

Rosnah berkata, saya merayu supaya tidak terus ­dipukul, namun lelaki terbabit terus membelasah saya.

“Lelaki terbabit bertanyakan di mana saya menyimpan barang kemas dan saya mengatakan hanya menyimpan sedikit duit untuk belanja seharian.

“Selepas duit saya diambil, penjenayah itu bertindak menutup mulut saya dengan kain dan mengikat kedua ­tangan dengan wayar seterika sebelum dia terus menggeledah,” katanya.

Katanya, dia sempat menyelamatkan diri ke arah pagar hadapan namun mengejutkan apabila penjenayah terbabit turut berlari memintasnya ­sebelum dia rebah.

“Ketika saya dipukul oleh penjenayah terbabit, besi yang dihayun tepat mengenai jari kelingking saya dan berdarah,” katanya yang menerima ­kunjungan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Abu Seman Yusof, semalam.

Sementara itu, anak bongsunya, Ridzuan Kassim, 30, berkata, dia terkejut ­apabila dimaklumkan ibunya cedera parah dibelasah perompak yang masuk ke rumahnya.

“Bimbang dengan keselamatan ibu yang tinggal ­seorang diri di sini, kami adik beradik sudah berbincang akan membawa ibu tinggal dengan kakak di Kuala Lumpur,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

sumber : sinarharian

No comments: