Partime Job

There was an error in this gadget

Monday, 26 March 2012

Masjid usang bahayakan jemaah

TELOK MAS - “Mungkin hendak tunggu ada yang cedera di masjid ini baru perlu ambil tindakan,” kata Mohamad Ali Abdullah, 76, jemaah Masjid Al-Watani di Kampung Bukit Pegoh, di sini.

Dia berkata demikian akibat kecewa apabila keadaan masjid berkenaan tidak sempurna serta tidak mendapat perhatian pihak terbabit.

Menurutnya, kerosakan masjid dibina sejak tahun 1960-an itu mengalami kerosakan selepas beberapa siling berhampiran kubah runtuh sejak tiga tahun lalu.

“Siling yang runtuh ketika itu turut menimpa beberapa jemaah yang sedang bersolat, namun bernasib baik tiada nyawa yang melayang,” katanya.

Seorang lagi jemaah masjid dikenali sebagai Ishak Kari berkata, hampir dua tahun lalu, siling di ruang solat pula dilihat mula terhakis hingga menampak struktur besi, selain cat siling juga tertanggal.

“Ia dipercayai berlaku akibat faktor cuaca dan pembuatan yang tidak mengikut spesifikasi hingga memboleh air hujan menyerap masuk.

“Memang ada jemaah yang terkena air menitik ketika sedang solat, namun hendak buat bagaimana dan mereka tetap teruskan solat berjemaah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi masjid berkenaan, Md Jani Gembor berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengajukan masalah terbabit kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan, namun tidak mendapat maklum balas positif diterima.

“Beberapa bahagian siling plaster berhampiran kubah masjid itu runtuh tiga tahun lalu kerana serapan air hujan dan sehingga kini ia masih tidak dibaiki akibat faktor kekangan kewangan.

“Berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) tiga tahun lalu, kos diperlukan bagi membaiki kerosakan siling runtuh berhampiran kubah adalah kira-kira RM260,000. Bagaimanapun, Jaim mendakwa tidak mempunyai peruntukan mencukupi,” katanya.

Md Jani berkata, masalah terbabit tidak pernah lepas daripada dibangkitkan dalam setiap mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun hanya jawapan dolak dalih yang mereka terima.

“Masjid ini menjadi tumpuan masyarakat Islam daripada enam kampung dan perumahan setiap minggu dengan mengadakan aktiviti keagamaan. Jadi, saya khuatir jika lambat laun terjadi perkara yang tidak diingini terhadap jemaah.

“Wang masjid sedia ada tidak boleh digunakan sebarangan, apatah lagi ia tidak cukup untuk memperbaiki keadaan masjid ini,” katanya.

Menurutnya, selain masalah siling yang rosak teruk, sistem pengudaraan masjid terbabit juga kurang sempurna menyebabkan jemaah terpaksa bersolat dalam keadaan tidak selesa akibat panas.

“Kemudahan pendingin hawa memang disediakan, namun penggunaan yang kerap akan meningkatkan lagi jumlah bil elektrik bulanan masjid.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat berbuat sesuatu bagi memulihkan struktur binaan masjid ini secepat mungkin,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: