Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Tunggu mangsa stabil


SHAH ALAM - Keterangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang diculik hampir dua bulan, sebelum ditemui di Thailand pada 11 Mac lalu, belum direkodkan kerana masih trauma ekoran insiden menimpanya.

Mangsa, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, 15, dilaporkan hilang oleh ibunya, Norazura Roski, 37, pada 31 Januari lalu, selepas tidak pulang ke rumah setelah pergi ke rumah rakan sehari sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk prosedur perubatan dan dilaporkan masih lemah selepas tiba di negara ini kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, mangsa setakat ini belum bersedia untuk memberi sebarang maklumat berhubung kejadian.

“Kita beri masa sehingga dia benar-benar pulih dan akan ambil keterangan selewat-lewatnya minggu depan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

Dalam perkembangan sama, Zahedi berkata, berdasarkan laporan ibu mangsa pada 12 Mac lalu, dia mendakwa anaknya diculik sekumpulan lelaki menaiki van berwarna putih ketika berada di stesen bas, berdekatan sebuah restoran di Seksyen 9, di sini.

Beliau berkata, dalam laporan sama, mangsa bersama lima remaja warga Myanmar berusia 14 hingga 17 tahun dikatakan dapat meloloskan diri dari kumpulan terbabit, sebelum ditemui dan diselamatkan oleh Polis Diraja Thailand.

“Dengan bantuan Interpol serta Kedutaan Malaysia di Bangkok, kita berjaya dapatkan pelepasan perjalanan untuk mangsa pulang melalui jalan darat dan diserahkan melalui sempadan di Bukit Kayu Hitam pada Sabtu lalu.

Zahedi berkata, pihaknya dalam proses untuk mendapatkan keterangan daripada lima lagi remaja Myanmar yang ditemui bersama mangsa kerana mereka disahkan berada di bawah pemerhatian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNHCR) negara ini, selain keluarga semua remaja itu dikesan berada di Selangor.

sumber : sinarharian

No comments: