Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Alami alahan kerana kilang


SUNGAI BULOH - Penduduk di sekitar Jalan DA/6 Kampung Desa Aman, di sini mengalami masalah kesihatan dipercayai berpunca dari kilang kaca dan kitar semula yang beroperasi berhampiran kawasan kediaman mereka.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, rata-rata penduduk yang ditemui tidak berpuas hati berikutan wujudnya kilang sejak 2006 di kawasan perumahan itu.

Penduduk, Amreek Sigh, 38, berkata, mereka pernah membuat aduan mengenai kewujudan kilang berkenaan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), namun sehingga kini kilang berkenaan masih beroperasi.

“Habuk yang dilepaskan dari kilang kaca terbabit menyebabkan penduduk mudah terkena batuk, hidung berair dan sakit mata,” katanya.

Seorang lagi penduduk, R Rajendran, 39, berkata, paling ketara apabila kilang kaca itu membina sistem saliran air buangan terus ke kawasan padang bola sepak.

Tindakan itu katanya, menyebabkan kanak-kanak yang bermain di kawasan padang mengalami masalah gatal-gatal.

“Seminggu lalu anak saya mengalami gatal-gatal pada kulit selepas terjatuh ke dalam air yang bertakung di kawasan tepi padang yang kami yakin ia air buangan kilang kaca itu,” katanya.

Difahamkan, kilang kitar semula yang beroperasi di kawasan itu juga mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di dalam kawasan semak berhampiran padang menyebabkan lokasi itu kini seperti tapak pelupusan sampah.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Paya Jaras, Mohd Khairudin Othman berkata, pihaknya akan membawa masalah itu kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Kita juga akan buat surat rasmi kepada MPS agar tindakan sewajarnya terhadap kewujudan kilang terbabit diambil,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: