Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Bantu kami


BUKIT KECIL – Penduduk Orang Asli Bukit Kecil dan dan Orang Asli Bukit Perah meminta pihak berkenaan menaik taraf kemudahan kampung yang diperlukan sebelum pilihan raya. Seorang penduduk, Koboi Rapit, 41, berkata, pelbagai kemudahan yang perlu diberi perhatian bagi membuktikan kerajaan hari ini prihatin dalam usaha untuk menyediakan kelengkapan awam yang selesa buat rakyat.

Menurutnya, beliau tidak menafikan laluan sejauh 1 kilometer telah dibina bagi memudahkan penduduk setempat melalui kawasan perkampungan Orang Asli Bukit Kecil di sini tetapi pelbagai kemudahan lain masih diperlukan.

“Antaranya gelanggang badminton, naik taraf dewan dan sebuah kawasan riadah untuk semua lapisan masyarakat. Sehingga hari ini tiada satu pun kawasan riadah disediakan walaupun kawasan yang sesuai ada untuk dinaik taraf,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Lelah anak Wah, 30, berkata, beliau memaklumkan sebuah padang dapat dibangunkan menjadi sebuah gelanggang serba guna sekiranya ada pihak membantu.

Walau bagaimanapun katanya, sehingga hari ini tiada apa – apa perubahan dibuat malah kemudahan seperti dewan dilihat tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bukit Perah, Kama Kadir berkata, beliau berhasrat memajukan kawasan perkampungan Orang Asli dengan pelbagai kemudahan yang dapat dinaik taraf.

Katanya, walaupun kawasan berkenaan mempunyai penempatan hanya 29 keluarga sahaja namun kemudahan yang diperlukan memberi peluang kepada masyarakat di sini hidup dalam keadaan yang selesa.

“Selain itu, segala aktiviti dapat diadakan di sebuah kawasan yang selamat dan selesa sekali gus tidak perlu menumpang ke kawasan perkampungan Orang Asli berhampiran. Kita akan berusaha mencari jalan mendapatkan pelbagai peruntukkan sekiranya layak untuk menjamin hidup selesa rakyat di kampung ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli, ketika dihubungi berkata, permohonan penduduk berkenaan telah diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri dengan memperuntukkan kos baik pulih tandas, dua bilik dewan dan sebuah gelanggang serba guna dengan jumlah keseluruhan RM 45,000.

Katanya, kerja menaik taraf kemudahan berkenaan akan dilakukan dengan segera sekali gus meminta penduduk yang terlibat supaya bersabar.

“Dalam pada itu, saya sendiri mahu memaklumkan bahawa masyarakat Orang Asli sebenarnya tidak dipinggirkan malah mereka mendapat manfaat daripada kerajaan melalui pelbagai peruntukkan antaranya naik taraf di laluan kampung di seluruh daerah Kuala Langat yang sebelum ini rosak,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: