Wednesday, 14 March 2012
Tidak gentar berdepan fitnah
BERA - Barisan Nasional (BN) tidak gentar berdepan dengan pelbagai tohmahan dilemparkan parti pembangkang dan akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera,
DewanUndangan Negeri (Dun) Guai dan Kemayan termasuk merampas kembali kerusi Dun Triang kerana yakin sokongan rakyat terhadap BN serta Umno semakin kukuh.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN yakin apabila rakyat menyokong setiap tindakan kerajaan dalam usaha membaiki dan menaik taraf hidup mereka.
Menurutnya, bukan sahaja masyarakat di perkampungan tradisional dan Orang Asli, malah warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) turut memberi sepenuh kepercayaan kepada BN untuk terus menerajui kerajaan.
Katanya, tidak mustahil tanah rancangan Felda yang menjadi kubu kuat BN mampu dikekalkan dengan memberi peratusan undian tinggi pada setiap kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Saya yakin warga Felda masih berpegang teguh kepada kepimpinan BN. Walaupun ada menentang, ia hanya sekumpulan kecil dan BN tidak tergugat dengan situasi itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Ismail Sabri berkata, jika Pakatan Rakyat (PR) menggunakan pelbagai teknik termasuk kemudahan teknologi maklumat untuk mempengaruhi rakyat, BN juga tidak ketinggalan.
Bagaimanapun katanya, pembabitan mereka bukan bertujuan merosakkan kepercayaan rakyat, tetapi tampil menegakkan kebenaran kerana semua maklumat disebarkan PR adalah tidak benar sama sekali.
Menurutnya, penyokong BN atau Umno kerap ‘turun padang’ menjawab segala fitnah disebarkan pembangkang kerana tidak mahu terus terpengaruh dengan dakyah atau fakta palsu itu.
“Tetapi saya yakin rakyat bijak berfikir perkara terbaik berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Malah, PR semakin gagal memimpin empat negeri ditawan semasa PRU sebelum ini sedangkan kerajaan di bawah pucuk pimpinan Perdana Menteri pula menunjukkan perkembangan positif.
“Jadi sama ada peneroka mahupun generasi Felda, mereka menyedari keadaan ini dan boleh menilai apa yang terbaik untuk masa depan mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, setiap kali turun padang terutama di tanah rancangan, PR hanya mampu berkempen dengan menampilkan pucuk pimpinan popular untuk menarik perhatian, tapi tidak berdaya melaksanakan perkara diperkatakan mereka.
Menurutnya, walaupun PR kerap berkempen semata-mata untuk memusnahkan kubu kuat BN, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana warga Felda tetap setia pada BN yang banyak mengubah kehidupan mereka sehingga ke hari ini.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment