Partime Job

Wednesday, 14 March 2012

Minta maaf petanda ajal


PAKA – “Arwah beberapa kali memohon maaf sebelum pulang ke rumah petang kelmarin, tidak sangka pula hari ini dia pergi meninggalkan kami,” kata Rosazlina Embong, 38, rakan sekerja Azhar Mohamed, 24, Polis Bantuan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Paka.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 pagi berdekatan Stesen Shell Paka apabila motosikal Yamaha LC yang ditunggang mangsa merempuh sebuah kereta di hadapannya yang berhenti dalam kesesakan lalu lintas.

Ketika itu, arwah Azhar difahamkan dalam perjalanan dari rumah kakaknya, Jalan Santong Paka ke tempat kerjanya di BSN Cawangan Kerteh.

Menceritakan detik sebelum tragedi menimpa pemuda dari Setiu itu, Rosazlina yang juga Pegawai BSN Cawangan Kerteh berkata, sehari sebelum kejadian, arwah dikatakan tidak banyak bercakap dan kelihatan murung sepanjang sehari di tempat kerjanya.

Menurut Rosazlina, arwah sebenarnya bertugas di BSN Kemaman namun dipinjamkan selama seminggu ke BSN Kerteh kerana kekurangan kakitangan keselamatan.

Katanya, dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk yang berlaku kepada anak buahnya itu walaupun arwah dikatakan beberapa kali memohon maaf daripadanya sebelum pulang ke rumah.

“Ketika ingin pulang, dia berkali-kali meminta maaf dengan saya, namun saya tidak syak apa-apa.

“Bagaimanapun, pagi tadi saya terkejut apabila dihubungi rakan yang bertugas di BSN Kemaman memaklumkan bahawa Azhar menemui ajal dalam kemalangan di Paka,” katanya ketika menziarahi jenazah mangsa di Unit Forensik Hospital Dungun.

Rosazlina berkata, rakannya yang bekerja di BSN Kemaman itu mendapat tahu kemalangan membabitkan kakitangan bawahannya apabila orang ramai yang berada di tempat kejadian menggunakan telefon bimbit milik mangsa untuk memaklumkan tragedi yang menimpa polis bantuan itu.

“Apabila mendapat tahu, saya terus bergegas ke lokasi, namun saya lihat polis sedang mengangkat mayatnya ke kenderaan polis,

“Tidak sangka dia pergi begitu cepat, baru kelmarin kami berbual,” kata Rosazlina.

Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan jenazah arwah yang masih bujang dibawa pulang ke kampung halamannya di Sungai Bari, Sungai Tong, Setiu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

sumber : sinarharian

No comments: