Partime Job

Wednesday, 14 March 2012

Tengku Mahkota bantu keluarga miskin


KOTA BHARU-Kebimbangan sepasang suami isteri yang menghadapi kekangan kewangan untuk menyara anak, cucu dan menantunya sedikit berkurangan apabila kisah dukanya mendapat simpati Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Semalam, Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Kamaruddin Mohd Zin bersama Ketua Pegawai Baitulmal, Nik Mohamed Noor Nik Ishak menyampaikan sumbangan segera menyempurnakan titah

Tengku Mahkota, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra merangkap Yang Dipertua Maik.

Mek Jah Yusof, 52, dan suaminya, Isa Hassan, 56, mempunyai masalah kewangan kerana pendapatannya bergantung kepada hasil menjual lokan, buah dan bunga nipah dengan mendapat RM20 sehari di samping bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, RM300 sebulan.

“Hasil jualan yang tidak menentu ditampung dengan elaun digunakan untuk perbelanjaan persekolahan empat anak dan turut dikongsi bersama menantu serta anak-anak lain kerana masing-masing bekerja tidak tetap. Hari ini saya bersyukur dan junjung kasih kepada Tengku Mahkota kerana prihatin dengan kesempitan hidup kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Mek Jah memberitahu, wang berkenaan tidak akan disalahgunakan dan diperuntukkan bagi perbelanjaan persekolahan anaknya, Noratikah, 13, Siti Sarah, 12, Sumita, 9 dan Mohd Rizuan, 2 yang sangat memerlukannya serta kegunaan harian.

Ibu gigih itu memberitahu, demi membesarkan anak-anaknya, dia sanggup berjalan di beberapa kampung setiap hari menjual bunga nipah.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, Tengku Mahkota berkenaan memberikan sumbangan kewangan segera termasuk wang pembiayaan menampung persekolahan anak Mek Jah.

“Keprihatinan Tengku Mahkota juga amat tinggi setelah mendapat tahu keadaan yang dihadapi keluarga berkenaan, terus menitahkan menghulurkan bantuan bersesuaian untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Selain itu, Maik juga akan memberikan elaun bulanan dan membantu membaiki dua motosikal yang rosak bagi memudahkan suaminya menghantar anak-anak ke sekolah kerana sebelum ini perlu berjalan.

sumber : sinarharian

No comments: