KAMPUNG KUBANG PANJANG – “Isteri saya lumpuh selepas terjatuh dari pokok rambutan apabila ranting yang dipijaknya patah. Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan tulang belakang,” kata Wee Chien A/L Eh Lem, 47, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan.
Wee Chien berkata, selepas kecelakaan itu, isterinya, Wan Di A/P Eh Noy, 39, lumpuh separuh badan dari pinggang ke bawah menyebabkan dia tidak dapat berjalan dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Menurutnya, pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk latihan fisioterapi, walaupun harapan isterinya tipis untuk berjalan, sedikit sebanyak selepas pelbagai rawatan termasuk rawatan tradisional, ada perubahan berlaku.
“Sudah dua tahun kecelakaan itu menimpa isteri saya, sekarang ini dia terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kelantan.
Cek sebanyak RM55,000 diserahkan Pengerusi NUTP Kelantan, Johari Ahmad yang hadir bersama Naib Pengerusinya, Che Mohd Azhar Abu Bakar di rumah Wee Chien, di sini, semalam.
Wee Chien layak menerima tuntutan hilang upaya kekal kerana dia mencarum dalam Skim Insurans untuk ahli NUTP yang mendaftar sebagai ahli persatuan sejak tahun 2000 lagi.
Wee Chien berkata, dia mencarum sebanyak RM4.50 sebulan yang dipotong melalui gajinya setiap bulan.
“Melalui premium sebanyak itu, saya, isteri dan tiga anak dilindungi insurans,” katanya kepada Sinar Harian.
NUTP yang ditubuhkan pada 27 Jun 1974 sebagai sebuah kesatuan pembela kaum guru dan pembela profesion perguruan sentiasa prihatin terhadap perkhidmatan para guru.
Di Kelantan seramai 11,000 guru sudah mendaftar menjadi ahli NUTP dan di Malaysia pula seramai 170, 000 guru sudah mendaftar.
sumber : sinarharian

No comments:
Post a Comment