Partime Job

Wednesday, 14 March 2012

Jangan ganggu urusan Felda


JENGKA 23 – Pihak tiada kaitan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dinasihatkan supaya tidak mengganggu kerja pengurusan Felda yang memohon peneroka menyerahkan salinan kad pengenalan, geran tanah dan buku akaun untuk mengemas kini maklumat.

Timbalan Pengerusi Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) berkata, ia berikutan ada pihak cuba memutarbelitkan fakta dan menakut-nakutkan peneroka.

“Mereka mengatakan tanah milik peneroka akan digadai sehingga menyebabkan huru-hara di setiap tanah rancangan.

“Sedangkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) tidak membabitkan tanah milik peneroka, sebaliknya tanah milik Felda diuruskan Felda Plantation seluas 360,000 hektar,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengemas kini maklumat itu membolehkan Felda memperoleh beberapa maklumat penting peneroka.

“Hasil maklumat dikumpulkan daripada 14,957 peneroka, kami dapati seramai 10,151 daripadanya adalah peneroka asal, 2,066 (pengganti) dan 1,051 merupakan pentadbir.

“Selebihnya pula iaitu seramai 1,599 peneroka belum mempunyai pengganti, manakala 90 peneroka terbabit dengan penjualan tanah,” katanya.

Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Jengka, Mohd Nasharuddin Mat Nasir berkata, selain mengemas kini maklumat, Felda dengan kerjasama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) turut menjalankan program ‘Banci Generasi Baru Felda’ pada 1 Julai tahun lalu.

“Bancian tersebut dibuat bertujuan memastikan bilangan sebenar generasi baru Felda di seluruh negara. Namun kini ia terpaksa ditangguhkan disebabkan beberapa faktor teknikal dan usaha pihak tertentu yang cuba menggagalkan bancian ini,” katanya.

Nasharuddin berkata, bancian itu amat penting kepada semua pihak khususnya Felda kerana data yang diperoleh dapat membantu Felda membuat perancangan rapi untuk menganjurkan sebarang program membabitkan generasi baru.

“Justeru, saya menyarankan seluruh generasi baru supaya bersama-sama memajukan Felda serta menyingkirkan pihak tidak bertanggungjawab yang memecahbelahkan masyarakat di tanah rancangan.

“Saya turut menasihati generasi baru supaya bersama-sama dengan pengurusan Felda dalam apa juga aktiviti dirancang,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: