Partime Job

Monday 19 March 2012

Terkapai-kapai dalam kolam

JITRA: “Kejadian berlaku begitu pantas. Saya tergamam sebaik melihat kedua-dua rakan terkapai-kapai dalam kolam berkenaan sebelum berlari meminta bantuan daripada orang ramai,” kata Siti Nor Shahirah Zahari, 12, rakan mangsa lemas, Faezatul Syafiqah Mohd Syamsudin, 11, di Hutan Lipur Bukit Wang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Faezatul Syafiqah, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, Mata Ayer, Arau, Perlis bersama lapan lagi rakan daripada tiga keluarga pergi berkelah di hutan lipur berkenaan sebelum sekolah bermula hari ini, namun berakhir tragedi.


Siti Nor Shahirah berkata, mereka berempat menuju ke kolam berkenaan sekadar untuk berjalan-jalan sebelum Mohd Lotfi Wan Rashidi, 12, menyatakan hasrat membasuh kaki di kolam itu walaupun mulanya ibu kanak-kanak lelaki itu membantah mereka pergi ke kolam berkenaan.

Menurutnya, dia difahamkan ketika Mohd Lotfi membasuh kaki, dia merasakan kakinya seakan ditarik menyebabkannya terjatuh ke dalam kolam.


Katanya, ketika itu, arwah cuba menyelamatkan Mohd Lotfi dengan mencapai tangan rakannya itu yang terkapai-kapai tetapi cubaannya gagal, malah mengakibatkan kedua-dua rakan itu terjatuh ke dalam kolam.


Datuk mangsa, Ibrahim Mohd Isa, 62, berkata mangsa memang tinggal dengannya sejak kecil, namun sehari sebelum kejadian, arwah seperti marah-marah dan perangainya sedikit berbeza berbanding selalu.

“Namun, apa yang terjadi saya terima sebagai takdir. Saya memang sayangkan dia kerana sudah membesarkannya sejak kecil lagi tetapi apakan daya, Allah lebih menyayanginya,” katanya.


Saksi kejadian, Mohd Aznin Azmi, 17, dan rakannya, Muhammad Azzim Asyraf Mohd Azami, 18, yang ketika itu bersiap pulang terkejut selepas seorang kanak-kanak perempuan menjerit meminta bantuan berikutan dua rakannya lemas.

Mohd Aznin berkata, dia lantas berlari ke arah kolam berkenaan dan terjun untuk menyelamatkan dua kanak-kanak terbabit, namun cubaannya itu hanya berjaya menyelamatkan Mohd Lotfi manakala rakannya gagal diselamatkan.


“Saya sempat mencapai tangan kanak-kanak perempuan itu (Faezatul Syafiqah) tetapi terpaksa melepaskannya kerana ketika itu saya hampir tenggelam berikutan kedua-dua tangan saya memegang kanak-kanak terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, selepas menyedari usahanya dan Muhammad Azzim Asyraf gagal, mereka meminta pertolongan orang ramai sebelum mangsa dijumpai kira-kira lima minit selepas itu.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 3.13 petang dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.


Beliau berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi kejadian, orang awam sudah mengeluarkan mangsa dari kolam berkenaan.

sumber : mymetro

No comments: