Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Terjun apartment, bongkar kegiatan makmal syabu

KAJANG - Tindakan nekad seorang lelaki Acheh terjun dari tingkat enam sebuah apartment di sini hari ini setelah empat hari dikurung oleh anggota sindiket dadah membongkar kegiatan makmal mini yang memproses dadah jenis syabu di apartment tersebut.

Sumber polis berkata lelaki Acheh warga Indonesia itu, yang juga pengedar dadah, sebelum itu ditahan oleh sindiket memproses dadah di apartment berkenaan kerana tidak cukup wang untuk membeli dadah syabu sebanyak tiga kilogram.

Lelaki itu berjaya meloloskan diri dengan terjun ke bawah dari tingkat enam dan mengalami kecederaan sebelum orang ramai memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadeer yang mengesahkan perkara iu berkata susulan kejadian itu, pihak polis telah menyerbu apartment berkenaan pada 8 pagi ini dan menemui makmal tersebut yang kebanyakan dadah syabu masih diproses iaitu di dalam bentuk cecair.

"Di apartment berkenaan polis menahan empat lelaki tempatan dan siasatan susulan membawa polis ke sebuah rumah di Desa Damai Perdana, Kajang dan polis menahan seorang lagi lelaki tempatan serta merampas 500 gram syabu bernilai RM60,000.

Polis juga menahan lelaki Acheh itu selepas beliau mendapatkan rawatan di hospital berdekatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nordin berkata keenam-enam mereka, berumur 20 dan 30 tahun, kini ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan mereka didapati positif dadah setelah menjalani ujian air kencing.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kumpulan itu telah beroperasi lebih dari setahun dan menyewa di apartment berkenaan sejak tiga minggu lalu.

"Kumpulan itu mendakwa belajar memproses dadah syabu berkenaan melalui internet," katanya.

Polis percaya dengan tertangkapnya enam lelaki tersebut polis telah berjaya melumpuhkan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang. - Bernama

No comments: