Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 20 March 2012

Doa keluarga iringi Suhaila ke Dubai


SEPANG – Suasana hiba mengiringi Nur Suhaila Tukijan dan ibunya, Hanita Mohd Tahir apabila keluarga dan sanak saudara turut hadir untuk memberi sokongan kepada mereka yang berlepas ke Dubai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang tadi.

Tiba masanya untuk Nur Suhaila, menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah bagi merawat penyakit ‘Congenital Disorder’ yang dideritainya sejak tiga tahun lalu.

Bagi keluarga Nur Suhaila, mereka memanjatkan doa kepada Maha Pencipta tanpa henti, semoga pembedahan Khamis ini, berjalan lancar tanpa komplikasi.

Nenek Nur Suhaila, Jaharah Said, 64, bersyukur, dugaan Ilahi pada mulanya bagi mengumpul dana membiayai rawatan pembedahan, dapat disediakan hasil keprihatinan dan sumbangan orang ramai.

Dia yang tiba dari Jasin Melaka bersama suaminya, Mohd Tahir Kasim, 68, berterima kasih kepada pelbagai pihak atas doa, kata-kata semangat dan dana bagi cucu kesayangannya menjalani pembedahan.

Saat berangkat pergi, wajah-wajah kesayangan ditatap dan dipeluk erat oleh Hanita dan Nur Suhaila, ke balai perlepasan bagi menaiki penerbangan Emirates, jam 7.30 malam.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai World Central-Al Maktoum jam, 10.30 malam waktu tempatan dan difahamkan ketibaan mereka disambut oleh rakyat Malaysia di sana.

Bagi Hanita, berat kakinya untuk melangkah meninggalkan dua lagi cahaya matanya, namun dirinya perlu menguatkan semangat untuk meninggalkan mereka sementara bagi menemani Nur Suhaila yang lebih memerlukan sokongan moral dan kasih sayangnya.

Bagai mengerti tanggungjawab yang perlu digalas, Nur Shahira Tukijan, 17 anak sulung pasangan Tukijan Abdul Hamid, 46 dan Hanita, akan menjaga adiknya, Mohd Akmal Tukijan,11 dan redha dengan perpisahan sementara itu demi kelangsungan kesihatan adiknya walau mereka tidak pernah berpisah lama.

“Adik dan ibu pergi lama... terlalu lama bagi saya walaupun 10 hari,” luahnya.

Dijangka berada di sana selama 10 hari, perjalanan lebih tujuh jam ke Dubai, hanya dengan satu matlamat supaya Nur Suhaila selamat menjalani pembedahan dan hidupnya kembali ceria seperti dahulu.

Keprihatinan banyak pihak dan individu menyumbang ke Tabung Nur Suhaila juga merealisasikan hasrat Nur Suhaila yang selama ini menderita akibat rahim yang gagal berfungsi, yang dihidapi hanya 180 orang sahaja di dunia.

Yakin dengan kepakaran pakar di hospital itu, Hanita berharap segalanya berjalan lancar dan tiada komplikasi seperti mana kejayaan hospital terbabit merawat kanak-kanak Sudan berumur 13 tahun, sebelum ini.

Sebagai ibu, impiannya hanya mahu Nur Suhaila segera sembuh, kembali ceria dan aktif seperti dahulu.

“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, walau pada mulanya terasa besar sungguh dugaan ini, Allah mempermudahkan urusan ini. Terima kasih kepada semua pihak, organisasi, orang ramai yang menyumbang ke Tabung Nur Suhaila.

“Tidak lupa juga kepada rakyat Malaysia di Dubai, pakar-pakar perubatan Hospital Universiti Sharjah dan Sinar Harian yang merealisasikan harapan ini,” katanya.

Menurut Hanita, beliau dimaklumkan bahawa Nur Suhaila perlu menjalani rawatan susulan selepas ini di hospital yang sama, sebulan selepas pembedahan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Nur Suhaila perlu mendapatkan rawatan susulan di sana, selepas dibedah,” katanya.

Kemungkinan, Hanita akan menetap lebih lama daripada tempoh dijangkakan, melihat kepada kondisi Nur Suhaila selepas pembedahan.

Kisah Nur Suhaila, dilaporkan Sinar Harian 22 Februari lalu, memerlukan RM60,000 bagi kos rawatan pembedahan di Dubai. Nur Suhaila, mempunyai dua buah rahim dan salah satunya tidak berfungsi, dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam itu hanya mempunyai satu buah pinggang.

Selepas liputan tersebut, Tabung Nur Suhaila mendapat perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tersentuh hati dan prihatin akan nasibnya. Sehingga saat Nur Suhaila berlepas ke Dubai, dana masih lagi diterima hasil sumbangan orang ramai.

sumber : sinarharian

No comments: