Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Curi pakaian dalam, wanita dipenjara lima hari dan denda RM500

KUALA LUMPUR - Seorang wanita dihukum penjara lima hari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri pakaian dalam dan baju wanita di sebuah pusat beli belah.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap L.Devi, 22, selepas dia mengaku mencuri empat helai seluar dalam dan sehelai baju wanita, yang kesemuanya bernilai RM74.70 di pusat beli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 8 malam 15 Mac lepas.

Devi, seorang penganggur dan tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, seorang penganggur lelaki yang mengaku mencuri enam tin makanan ringan dan tiga botol produk kesihatan di kedai 7-Eleven, Jalan Bukit Bintang pada 17 Mac lepas, dihukum penjara dua bulan.

Andrew Martin, 37, juga gagal menunjukkan kad pengenalan atau dokumen sementara pengenalan diri di tempat dan pada waktu sama.

Bagi kesalahan ini, Siti Shakirah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan memerintahkan Andrew menjalani kedua-dua hukuman secara serentak mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 17 Mac.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Noor Mawarni Abdul Halim. - Bernama

No comments: