Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Tanah runtuh makin serius


FELDA GUGUSAN TERSANG – Penduduk di sini berharap supaya tembok Gabion dibina bagi menghalang runtuhan tanah terus berlaku berdekatan jalan masuk ke Felda Gugusan Tersang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tersang Satu, Mohd Zahari Arshad berkata, lokasi sepanjang 500 meter itu berisiko mengundang kejadian kemalangan jika tiada tindakan segera dilaksanakan.

Menurutnya, tebing setinggi hampir 100 meter di situ kerap ­berlaku runtuhan tanah dan mendapan berikutan terdapat aliran air daripada bukit.

“Kita difahamkan bahawa peruntukan sudah pun disediakan bagi menangani masalah ini tetapi masih tidak tahu tarikh sebenar akan dilaksanakan.

“Memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini terutama hujan, penduduk risau akan berlaku runtuhan lebih teruk lagi pada masa akan datang,” katanya.

Risiko pengguna jalan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi JKKR Felda Tersang Dua, Abdul Rahman Joned berkata, keadaan runtuhan tanah itu sudah pun menjangkau jalan berturap sekali gus menjadikan sebelah laluan sempit dan berbahaya kepada pengguna.

Katanya, pemandu kenderaan berat seperti lori muatan sawit dan bas sering menggunakan laluan itu sebagai rutin harian, tidak termasuk pengguna lain seperti kereta dan motosikal.

“Kita bimbang sekiranya berlaku runtuhan tanah atau mendapan secara tiba-tiba dan kebetulan pula terdapat pengguna melalui jalan itu.

“Kejadian menimpa pengguna jalan di Kampung Terap dekat Jalan Benta – Jerantut, baru-baru ini ­menambahkan lagi keresahan kami semua ekoran bimbang ia berlaku di sini pula,” katanya.

Tindakan pasang Gabion

Timbalan Pengerusi JKKR Felda Tersang Tiga, Abdul Rahman Zakaria berkata, pemasangan tembok batu atau Gabion wajar dilaksanakan walaupun hanya sementara demi keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, keadaan hujan yang kerap ketika ini menjadikan penduduk resah untuk melalui jalan itu sekali gus terbayangkan trauma mangsa jalan mendap di Jalan Benta – Jerantut tempoh hari.

“Terdapat pembetung di ­bahagian bawah jalan itu dibina bagi menyalurkan aliran air hujan dari bukit tetapi ia tidak dapat menampung jumlah air yang banyak sekiranya berlaku hujan lebat dan takungan air sehingga melimpah ke atas jalan.

“Pada masa sama, air itu meresap ke dalam tanah sekali gus menjadi lebih berongga dan lembut, secara tidak langsung mengundang risiko berlaku mendapan tanah,” katanya.

Risiko waktu malam

Keadaan lebih berbahaya pada waktu malam dengan penglihatan dan ruang terhad terutama ketika kenderaan berselisih.

Mohd Zahari berkata, pemandu atau pengguna jalan yang tidak biasa dengan laluan itu juga berisiko terbabas dan terlibat dalam kemalangan kerana keadaan tanah runtuh sudah menjangkau tepi jalan berturap.

Katanya, penduduk tidak mahu berlaku kecelakaan sehingga mengakibatkan nyawa terkorban sekiranya masalah ini tidak diatasi segera.

“Pada ketika ini, pembinaan tembok batu amat penting untuk ­mengekang runtuhan tanah dari­pada berterusan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: