Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Sebulan tidak kurang 15 kemalangan

JENGKA – Menerusi tinjauan Sinar Harian, terdapat banyak kawasan dikatakan lokasi ‘panas’ di mana sering berlakunya kemalangan seperti di Bukit Gajah iaitu jalan dari bandar Jengka menuju ke Maran, di simpang jalan dan di sepanjang Jalan P83 dari Jengka 8 menuju ke Kampung Awah.

Perkara ini diakui pemilik kereta penunda, Norazman Abu Shaariah.

“Boleh dikatakan, dalam sebulan, tidak kurang 15 kemalangan sama ada kecil mahupun yang meragut nyawa.

Menurutnya, setiap kawasan terbabit punya punca tersendiri sehingga sering berlakunya kemalangan.

Norazman berkata, Bukit Gajah merupakan lokasi kerap berlaku kemalangan kerana kawasan terbabit merupakan kawasan ‘keras’ dan dikaitkan dengan gangguan makhluk halus.

“Mungkin disebabkan gang­guan makhluk halus menjadi punca terjadinya kemalangan di situ. Pernah berlaku kepada saya dan rakan di mana ketika melalui jalan terbabit, secara tiba-tiba enjin kereta mati dan tidak dapat digerakkan,” katanya.

Selain dikaitkan dengan makhluk halus, jalan yang rosak teruk juga dikatakan menjadi punca berlakunya kemalangan sehingga meragut nyawa.

“Jalan rosak sering menyebabkan pemandu terbabas. Kadang-kala, hanya kerana mahu mengelak lubang.

“Apabila melibatkan masalah jalan rosak, kawasan yang sering dikaitkan dengan punca ini ialah jalan dari Bandar Pusat Jengka menuju ke Jengka 20,” katanya.

Selain itu, jalan licin juga menjadi punca sering terjadinya kemalangan di jalan dari Felda Jengka 11 menuju ke Felda Jengka 8, berhampiran dengan ladang ternakan ayam.

“Dahulu, setiap kali selepas hujan, pasti akan ada kenderaan terbabas di kawasan tersebut kerana permukaan jalannya yang licin,” katanya.

Tambahnya, sering kali juga terjadi kemalangan di simpang seperti di simpang Felda Jengka 14, simpang memasuki kawasan perumahan Rantau Perintis, simpang dari bandar menuju ke Felda Jengka 12 atau dikenali penduduk sebagai simpang buah serta simpang menuju ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang.

“Jika di kawasan simpang, biasanya adalah disebabkan kecuaian pemandu yang tidak berhati-hati atau memberi isyarat ketika keluar atau masuk,” katanya.

Selain itu, menurutnya, binatang ternakan juga sering menjadi punca berlakunya kemalangan.

“Ini sering berlaku terutama ketika memandu atau membonceng motosikal di waktu malam di mana pemandu dan pembonceng gagal mengawal kenderaan kerana secara tiba-tiba binatang ternakan terbabit keluar dari ladang atau hutan,” katanya.


Jangan salahkan keadaan jalan

Dalam pada itu, pemandu seharusnya tidak boleh menyalahkan jalan semata-semata sekali gus menjadikan ia sebagai punca berlakunya kemalangan.

Rata-rata masyarakat berpendapat, sikap pemandu harus juga dititikberatkan di mana mereka harus bersikap lebih berhati-hati ketika memandu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, jalan rosak tidak semestinya menjadi punca terjadinya kemalangan.

“Kejadian kemalangan yang melibatkan jalan rosak mungkin cuma segelintir dan sebahagian jalan raya di sempadan Felda Jengka 15 hingga Felda Jengka 16 yang telah dikenal pasti perlu diberi lebih perhatian kini telah dibaik pulih dan masih menunggu bajet untuk pembaikan di kawasan-kawasan lain.

Ismaitin Ahmad, 55, berkata, kerajaan seharusnya bersikap lebih perihatin bagi mengatasi masalah kemalangan jalan raya ini.

“Sekurang-kurangnya fikirkan jalan bagaimana untuk mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya yang dikatakan sering terjadinya kejadian yang tidak diingini terbabit.

“Sebagai contoh, jalan raya yang sempit seharusnya dilebarkan, begitu juga dengan jalan yang rosak harus dibaikpulih dengan segera,” katanya.

Mohd Yusof Hussin, 50, pula berkata, walaupun pembaikan jalan sudah memasuki Racangan Malaysia Ke 10 (RMK 10), tetapi kerja pembaikan perlu dilakukan secepat mungkin.

“Semakin hari, jumlah kenderaan di Jengka semakin bertambah. Justeru, adalah penting untuk melakukan penambahan kelebaran jalan bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat ini,” katanya.

Selain itu, menurutnya, tidak boleh juga disalahkan kepada keadaan jalan, sebaliknya turut juga perlu menyalahkan sikap pemandu.

“Belia utama, sering menjadikan jalan raya sebagai kawasan untuk mereka berlumba. Ini mungkin disebabkan pengaruh dari program perlumbaan yang kerap dianjurkan di Jengka ini.

“Mereka sudah mengubahsuai kereta dan motosikal mereka. Jika tidak di jalan raya, di mana lagi boleh mereka menguji kelajuan kenderaan masing-masing sebelum memasuki perlumbaan sebenar?” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: