Partime Job

Thursday 22 March 2012

Syarikat digalak ambil OKU


TEMERLOH – Syarikat swasta digesa mengambil golongan orang kurang upaya (OKU) bekerja kerana mereka juga ada kemahiran yang boleh dimanfaatkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob turut menggesa syarikat pemaju hartanah menyediakan kemudahan untuk golongan itu supaya mereka dapat bergerak bebas tanpa bantuan orang ramai.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah perlu memastikan semua bangunan yang hendak dibina menyediakan kemudahan untuk OKU.

“Penyediaan lif, tandas dan tempat letak kereta dapat membantu golongan itu bergerak tanpa bantuan orang ramai,” katanya ketika berucap pada Hari Orang Kurang Upaya peringkat negeri, di sini, baru-baru ini.

Adnan berkata, OKU perlu diberi perhatian dan pembelaan kerana mereka mempunyai keistimewaan sendiri, malah keistimewaan itu kadangkala lebih daripada orang normal.

Menurutnya, masih terdapat seramai 4,000 OKU di negeri ini belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka berbuat demikian untuk menerima banyak faedah disediakan kerajaan.

“Ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak OKU perlu menghantar anak masing-masing ke pusat latihan untuk mendapat latihan kemahiran sesuai dengan kebolehan mereka demi jaminan masa depan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga Pusat Didikan Penjagaan (PDL) OKU yang menyediakan pelbagai latihan dalam usaha membimbing mereka berdikari apabila dewasa nanti.

sumber : sinarharian

No comments: